Kementerian Pendidikan pandang serius kes buli di sekolah

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan memandang serius kes-kes buli melibatkan pelajar sekolah di negara ini serta komited untuk menangani kejadian seumpama itu.

Ia susulan sebuah video yang tular memaparkan seorang murid lelaki dipukul oleh tiga orang murid lain dalam kejadian dipercayai berlaku di Besut, Terengganu, Rabu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Amin Senin berkata, adalah menjadi keutamaan kementerian itu untuk memastikan keselamatan murid di sekolah sentiasa terjaga.

“Kementerian Pendidikan komited untuk menangani kes-kes buli melalui mekanisme pencegahan, penguatkuasaan peraturan sekolah, intervensi kepada mangsa dan menjalinkan kerjasama padu dengan semua pihak.

“Pihak sekolah juga telah diberi peringatan melalui surat-surat pekeliling dan garis panduan mencegah serta menangani buli dalam kalangan murid,”katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kes buli yang berlaku di Terengganu itu, pihak sekolah telah mengambil tindakan segera dengan memanggil kedua-dua pihak bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis dan kes tersebut kini dalam siasatan polis. Murid-murid yang terlibat juga telah diberikan kaunseling.

“Kementerian juga memohon kerjasama dan sokongan semua pihak bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, menggembirakan dan menyeronokkan,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, pelbagai program kesedaran gejala buli dilaksanakan secara bersepadu menerusi kurikulum, kokurikulum dan pembinaan sahsiah.

“Malah, murid turut dilibatkan menjadi pembimbing rakan sebaya melalui kelab pakaian beruniform dan Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah,”katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular kes buli di sekolah