Bagasi eksotik 'seludup' 185 anak kura-kura gergasi

Kira-kira 185 anak kura-kura gergasi cuba diseludup dalam sebuah beg pakaian dari Pulau Baltra, Kepulauan Galapagos ke tanah besar Ecuador pada Isnin lalu. - Foto AFP
Kira-kira 185 anak kura-kura gergasi cuba diseludup dalam sebuah beg pakaian dari Pulau Baltra, Kepulauan Galapagos ke tanah besar Ecuador pada Isnin lalu. - Foto AFP
A
A
A

QUITO - Seorang anggota polis Ecuador ditangkap selepas pihak berkuasa menemui 185 ekor anak kura-kura gergasi di dalam bagasi miliknya di sebuah lapangan terbang di Kepulauan Galapagos pada Isnin.

Kesemua reptilia itu yang berusia kurang tiga bulan ditemui dalam beg tersebut yang cuba dihantar ke Guayaquil di tanah besar Ecuador dari Pulau Baltra, Kepulauan Galapagos, kata pihak berkuasa.

Menurut AFP, semua haiwan tersebut dibalut dengan kain plastik dan sepuluh daripadanya mati ketika beg pakaian itu dibuka oleh anggota-anggota penguat kuasa undang-undang.

Reptilia itu mati kemungkinan disebabkan oleh tekanan, kata Kementerian Alam Sekitar Ecuador pada Isnin.

Anggota polis itu akan didakwa di bawah akta jenayah hidupan liar dan berisiko dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun, kata Pejabat Pendakwa Raya itu dalam satu kenyataan di Twitter.

Menurut portal berita USA Today, mesin X-ray mengesan terdapat objek mencurigakan dalam sebuah beg pakaian yang dikatakan membawa cenderamata.

Anak kura-kura gergasi itu boleh dijual lebih AS$5,000 (RM20,729) setiap seekor, lapora portal berita BBC.

Kepulauan Galapagos terletak kira-kira 1,000 kilometer dari pantai tanah besar Ecuador merupakan tempat tinggal kura-kura gergasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Panjang kura-kura gergasi itu boleh mencapai antara 1.5 meter hingga 1.8 meter dan umur haiwan itu boleh mencecah lebih 100 tahun. - Agensi