Peniaga mainan rugi terima wang palsu pelanggan

M Zambri Mahmud. Gambar kanan: Wang tunai RM100 dipercayai palsu digunakan pelanggan di kedai Ma Husin di Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu pada Sabtu.
M Zambri Mahmud. Gambar kanan: Wang tunai RM100 dipercayai palsu digunakan pelanggan di kedai Ma Husin di Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik kedai mainan kanak-kanak menanggung kerugian selepas menerima 10 keping wang kertas RM100 dipercayai palsu daripada pelanggan yang membeli sebuah motosikal 'GP Pocket Bike' di premisnya, di Jalan Sultan Mohamad, di sini petang Sabtu.

Mangsa, Ma Husin Ibrahim, 34, berkata, dia hanya menyedari ada menerima 10 wang kertas dipercayai palsu itu semasa mengira jumlah wang yang ada di kaunter untuk disimpan ke dalam bank.

"Jika pegang sekali imbas macam tu pun kita sudah tahu wang tersebut tidak asli kerana kertasnya agak nipis, kebetulan pula semasa urus niaga berlaku iaitu kira-kira jam 6 petang hanya tinggal seorang pekerja lelaki di premis.

"Untuk kepastian, saya terus membuat pemerhatian menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis sebelum mendapati seorang lelaki bertatu datang ke kedai untuk membeli sebuah motosikal 'GP Pocket Bike' yang ditawarkan dengan harga RM1,000.

"Dia datang berseorangan dan terus memaklumkan yang hendak membeli motosikal tersebut lalu meminta izin untuk mencubanya, tanpa curiga pekerja saya terus membenarkan dengan mengisi minyak terlebih dahulu.

"Selepas mencuba menunggang motosikal tersebut, dia terus menyatakan persetujuan untuk membeli dan menyerahkan satu sampul surat kepada pekerja saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Ma Husin yang turut memiliki dua lagi cawangan kedai sama iaitu di Tanjung dan Kuala Ibai, di sini berkata, dia yakin suspek sebelum itu ada datang ke kedai cawangan di Tanjung kerana hasil rakaman CCTV di premis mendapati suspek yang sama ada di dalam kedai tetapi mungkin disebabkan semasa itu ramai pelanggan, jadi dia membatalkan niatnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan dibuat mangsa pada hari sama kejadian disedari di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Artikel Berkaitan:

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 489 B Kanun Keseksaan.