JPN Kedah terima pemulangan wang zakat RM11.2 juta

Zakaria (tengah) menyerahkan replika cek kepada Ismail pada Majlis Penyerahan Wakalah Agihan Balik Zakat LZNK di Menara Zakat, Alor Setar pada Selasa.
Zakaria (tengah) menyerahkan replika cek kepada Ismail pada Majlis Penyerahan Wakalah Agihan Balik Zakat LZNK di Menara Zakat, Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menerima lebih RM11.2 juta wang zakat yang dikembalikan semula untuk diagihkan kepada asnaf khususnya pelajar melalui skim wakalah.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Zakaria Othman berkata, skim wakalah ialah LZNK mewakilkan kuasa agihan zakat kepada pembayar zakat untuk mengagihkan sendiri wang zakat kepada asnaf melalui pemulangan semula sejumlah wang dibayar mereka.

Katanya, melalui sistem wakalah, kira-kira 3/8 daripada jumlah keseluruhan bayaran zakat dikembalikan semula untuk diagihkan kepada golongan asnaf melalui program dilaksanakan di negeri ini.

"Untuk JPN Kedah, lebih RM29.9 juta jumlah zakat dikumpulkan termasuklah sekolah kebangsaan (SK), sekolah menengah, sekolah jenis kebangsaan (SJK), sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) dan sekolah agama bantuan kerajaan pada tahun lepas.

"Daripada jumlah itu, lebih RM11.2 juta wang wakalah ataupun wang zakat yang dikembali semula dalam tempoh sama," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wakalah Agihan Balik Zakat LZNK di Menara Zakat, di sini pada Selasa.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim, Pengarah Tabung Haji Wilayah Utara, Nawawi Ishak dan Timbalan Pengarah Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Ismail Othman.

Zakaria berkata, pihaknya akan memulangkan semula sejumlah wang zakat yang dibayar setiap sekolah mengikut bayaran dibuat masing-masing, yang mana ada yang menerima wang wakalah sehingga mencecah RM100,000.

Katanya, pihak sekolah sendiri akan membuat agihan zakat kepada kumpulan sasar mereka, seperti pelajar sekolah dengan menggunakan wang wakalah tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kini, sekolah-sekolah di Kedah turut mewujudkan sekretariat zakat masing-masing mengikut garis panduan diberikan LZNK, yang mana ia dilihat memberi impak besar dalam sektor pendidikan.

"Dengan ini, JPN dapat memastikan tiada pelajar keciciran dalam pelajaran, tiada pelajar tidak makan, tiada pelajar tidak mampu bayar yuran hingga terhalang untuk belajar melalui bantuan disediakan menggunakan wang wakalah itu," katanya.

Kesannya, kadar kutipan zakat dalam kalangan guru sekolah di Kedah menunjukkan peningkatan mendadak apabila mereka melakukan sendiri agihan wang zakat itu, kata Zakaria.

Tambah beliau, skim wakalah juga memberi manfaat kepada agensi korporat untuk memperoleh pemulangan bayaran untuk agihan, malah melaksanakan program berimpak tinggi kepada golongan sasaran mereka.

"Sebagai contohnya, Lembaga Tabung Haji mengumpul zakat sebanyak RM7.08 juta dan menerima pemulangan wakalah agihan zakat sebanyak RM2.6 juta pada tahun lepas," katanya.

Zakaria berkata, dengan ini pelbagai projek dilaksanakan menggunakan wakalah agihan zakat itu, seperti tajaan pakaian seragam sekolah kepada 48 sekolah rendah di Kedah yang memberi manfaat kepada 2,880 murid melibatkan kos tajaan RM196,463.82.

Dalam perkembangan sama, Zakaria berkata, pihaknya mendapati tahap keyakinan pembayar zakat lain misalnya bank dan lain-lain bertambah dengan perlaksanaan skim wakalah tersebut.