Sembunyi dadah dalam kereta sewa

Agus Salim (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan kereta sewa digunakan suspek pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam pada Selasa.
Agus Salim (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan kereta sewa digunakan suspek pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kegiatan seorang lelaki mengedar dadah jenis syabu dan heroin terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di sebuah restoran di Sekinchan, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, suspek berusia 49 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Sekinchan pada jam 10.30 malam.

Menurutnya, semasa serbuan itu dilakukan, lelaki terbabit sedang menikmati juadah makan malam di restoran tersebut.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek menyembunyikan dadah di dalam satu bekas khas yang diletakkan di bahagian enjin kereta jenis Toyota Vios," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini pada Selasa.

Agus Salim berkata, pemeriksaan polis pada kenderaan terbabit berjaya merampas empat paket plastik lut sinar masing-masing mengandungi dadah jenis heroin seberat 111.44 gram dan dadah jenis syabu seberat 102.06 gram dengan nilai keseluruhan RM8,446.

Beliau berkata, selain dadah, polis turut merampas kenderaan digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan terbabit.

"Siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi menyewa kereta dalam tempoh dua minggu dan kemudian menyewa kereta lain bagi mengaburi mata pihak polis.

"Kami difahamkan, suspek menyewa kereta RM100 sehari dan kegiatan itu telah dilakukan sejak dua bulan lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Agus Salim berkata, dalam serbuan itu juga, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM4,609 dan tiga telefon bimbit serta satu kunci kereta kawalan jauh.

Beliau memberitahu, suspek terlibat dalam penagihan dadah lebih dari 10 tahun lalu.

"Malah, suspek mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik," katanya.

"Suspek kini direman selama tujuh hari dari tarikh ditangkap dan kes siasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.