Ok...jika bukan pancing undi: SPR

Azhar Azizan Harun (tengah) ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan ahli SPR yang baharu dilantik di Menara Suruhanjaya Pilihan Raya, hari ini. Foto: Bernama
Azhar Azizan Harun (tengah) ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan ahli SPR yang baharu dilantik di Menara Suruhanjaya Pilihan Raya, hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Aktiviti kerajaan di Semenyih tidak dianggap langgar undang-undang pilihan raya selagi aktiviti itu tidak digunakan untuk mengumpan undi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata ini kerana PRK DUN Semenyih berlangsung dalam keadaan kerajaan wujud dan DUN Selangor tidak dibubarkan.

"Bila kerajaan wujud akan terdapat aktiviti kerajaan. Kalau aktiviti itu digunakan untuk mengumpan undi maka ia akan menjadi isu," katanya ketika diminta mengulas mengenai kehadiran ramai menteri Kabinet di Semenyih yang bakal menghadapi PRK pada 2 Mac ini.

Azhar ditemui selepas tiga anggota SPR iaitu Datuk Seri Ramlan Ibrahim, Datuk Chin Phaik Yoong dan Zoe Randhawa melapor diri di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar bagaimanapun berkata keputusan muktamad berkenaan perkara itu terletak di tangan mahkamah sekiranya ia dibawa ke muka pengadilan.

Ditanya mengenai persiapan PRK DUN Semenyih, Azhar berkata suruhanjaya itu sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRK tersebut yang melibatkan kos RM1.8 juta serta 992 petugas dan merupakan PRK keenam sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lepas.

Esok merupakan hari penamaan calon PRK itu manakala pengundian pada 2 Mac dan undi awal 26 Februari ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14, Bakhtiar daripada Bersatu memperoleh 23,428 undi mengetepikan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz (14,464); calon Pas, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan S. Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293).- Bernama