Buruh kampung terjejas Covid-19 terima rumah baharu

Anuar (tengah) bersama Iskandar menunjukkan replika kunci sebagai simbolik penerimaan rumah baharu daripada Kesedar.
Anuar (tengah) bersama Iskandar menunjukkan replika kunci sebagai simbolik penerimaan rumah baharu daripada Kesedar.
A
A
A

GUA MUSANG- Hilang tempat berteduh selepas banjir besar pada tahun 2014 memberi kesan yang cukup mendalam kepada Anuar Yaacob, 44, dari Kampung Chegar Atas, Kuala Tol di sini.

Rumah yang sebelum ini hanya berlantaikan kayu dan bocor di beberapa bahagian, ranap sekelip mata selepas dibadai air bah besar kerana kediamannya itu hanya beberapa meter sahaja dari Sungai Nenggiri.

Terpaksa berpindah dan menyewa di Kampung Kala buat sementara waktu, Anuar sabar menanti permohonan rumahnya daripada pihak Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di sini.

Tujuh tahun menanti, hasrat untuk memiliki rumah idaman menjadi kenyataan apabila dihubungi pihak Kesedar dan diberitahu tanah miliknya layak untuk program bina rumah baharu yang siap sepenuhnya sejak tahun lalu.

Dalam situasi penularan pandemik Covid-19, buruh kampung itu sangat teruja menerima bantuan kediaman tersebut kerana dia kini tidak lagi perlu membayar sewa rumah.

“Alhamdulillah, saya tidak perlu menyewa lagi. Sebelum ini selalu risau bagaimana nak bayar sewa dan nak jaga anak-anak lagi. Anak saya kelima-limanya masih bersekolah, malah komitmen bulanan juga tinggi.

“Isteri saya tidak bekerja dan mengharapkan saya sepenuhnya. Bila tiada lagi komitmen rumah sewa dan dapat pula rumah yang cantik dan selesa ini, kami sekeluarga sangat bersyukur.

“Terima kasih kepada pihak Kesedar kerana tanpa bantuan ini, saya tidak mungkin dapat membina kediaman begini, ditambah pula dalam situasi Covid-19 yang turut menjejaskan pekerjaan saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Anuar dan isteri, Rohani Ramli, 38, menerima kunjungan pihak Kesedar di kediamannya melalui Program Perasmian Rumah PPRT di Kampung Chegar Atas, Kuala Tol di sini.

Turut hadir, Pengurus Besar Kesedar, Iskandar Zurkarnain Ibrahim dan Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Mohd Fadhly Ab Manaf.

Pada majlis berkenaan, Anuar turut menerima replika kunci sebagai simbolik penerimaan rumah tersebut daripada pihak Kesedar.

Tambah Anuar, dia membuat permohonan rumah melalui platform e-Kasih selepas ibu bapanya memberikan sebidang tanah untuk mendirikan rumah.

“Alhamdulillah, tanah ini sempit sahaja tetapi ibu dan ayah mahu saya berada dekat dengan mereka. Semuanya rezeki ALLAH SWT untuk saya dan keluarga, dalam masa yang sama kami boleh menjaga mereka,” katanya.

Peruntukan RM34.3 juta

Sementara itu, Iskandar ketika ditemui berkata, Kesedar telah membelanjakan RM34.3 juta bagi melaksanakan dua program iaitu Bina Baharu dan Membaik Pulih Rumah sejak tahun 2018.

Jelasnya, jumlah tersebut merangkumi pembinaan 243 buah rumah menerusi Program Bina Baharu Projek Perumahan Rumah Termiskin (PPRT) dengan peruntukan RM11.9 juta, manakala RM22.3 juta pula adalah untuk membaik pulih 1,718 rumah.

“Individu yang terpilih atau layak untuk program berkenaan adalah mereka yang tersenarai dalam sistem e-Kasih.

“Projek Bina Baharu Rumah PPRT menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berkonsepkan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) membabitkan kos RM48,000 bagi setiap rumah,” katanya.

Menerusi Program Bina Baharu Rumah, sebanyak 31 unit rumah dibina pada tahun 2018, 2019 (92), 2020 (64) dan 56 unit pada tahun ini.

Bagi Program Baik Pulih pula, sebanyak 140 unit pada 2018, 2019 (409), 2020 (922) dan 2021(247).

Tambah Iskandar, Kesedar komited dalam usaha membantu golongan yang memerlukan bertepatan dengan misi agensi bagi meningkatkan kualiti serta taraf hidup masyarakat yang terjejas akibat kemiskinan.