Belum ada perkembangan lanjut kes culik di Pegasus Reef: Polis Sabah

No Image Caption
A
A
A

SANDAKAN - Belum ada perkembangan lanjut mengenai tiga nelayan yang dipercayai diculik di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada Disember lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dengan kerjasama pihak berkuasa Filipina untuk mengenalpasti suspek dan mengesan mangsa.

"Pihak berkuasa Malaysia atau Filipina mahupun keluarga mangsa belum menerima sebarang panggilan daripada suspek.

"Bagaimanapun, siasatan masih berjalan. Pihak kami mendapat kerjasama yang baik daripada pihak berkuasa Filipina untuk mengesan suspek dan mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program tinjauan mesra Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di Bandar Kim Fung di sini hari ini.

Omar juga memberitahu bahawa mangsa difahamkan dalam keadaan baik.

Pada 6 Disember lepas, tiga nelayan dikenali sebagai Heri Ardiansyah, 19, Jari Abdullah, 34 dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka ditemui tanpa mereka, yang dipercayai diculik dan berada di suatu tempat di Filipina.

Mengenai program itu, Omar berkata inisiatif itu sebahagian daripada program kepolisan masyarakat anjuran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk mendekati masyarakat dan memberi kesedaran mengenai tanggungjawab masyarakat dalam pencegahan jenayah.

Orang awam juga mempunyai kuasa untuk menangkap suspek yang melakukan kesalahan di depan mata, selaras dengan Kanun Prosedur Jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Dengan syarat orang awam tidak mencederakan suspek dan segera menyerahkan suspek kepada polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Omar mengingatkan orang awam supaya mengambil langkah berhati-hati dalam menangkap suspek yang bersenjata atau sebaiknya segera menghubungi polis untuk menahan suspek.- Bernama