533 iklan ceti haram dibuang dalam tiga jam

Azhar turut terlibat dalam operasi menurunkan iklan dan poster ceti haram di Kulim pada Ahad.
Azhar turut terlibat dalam operasi menurunkan iklan dan poster ceti haram di Kulim pada Ahad.
A
A
A

KULIM - Sebanyak 533 keping iklan dan poster ceti haram berjaya diturunkan sekitar daerah Kulim dalam tempoh tiga jam menerusi Ops Vulture membabitkan 34 anggota penguat kuasa pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, operasi bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari itu melibatkan Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Kulim dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT Hi Tech) antaranya mensasarkan iklan pinjaman wang tanpa lesen yang ditampal di kawasan tumpuan.

Menurutnya, antara lokasi sasaran ialah sekitar Hi Tech Park, Lunas, Padang Serai dan pekan Kulim termasuk jalan utama dan kawasan perumahan.

"Jumlah iklan dan poster yang berjaya dikumpul mengikut kawasan ialah sebanyak 120 keping di Hi Tech Park, 156 keping di Lunas, 125 keping di Padang Serai dan 132 keping di sekitar pekan Kulim.

"Semua iklan dan poster haram ini telah dibawa balik ke Balai Polis Hi Tech untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, tindakan itu dilaksanakan berdasarkan undang-undang Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Vandalisme Seksyen 3(1) (B) Pihak Berkuasa Tempatan Kulim.

Katanya, perbuatan pelanggaran akta dan peraturan ditetapkan merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

Artikel Berkaitan: