PDRM usaha ekstradisi tiga warga Thailand

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha mengekstradisi tiga warga Thailand yang terbabit dalam serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis pada November tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia bagi membolehkan tiga suspek terbabit ditangkap dan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah menandatangani permohonan ekstradisi baru-baru ini selaras dengan hubungan Malaysia dan Thailand melalui triti yang telah dimeterai di Bangkok pada 4 Mac 1911 iaitu 'Treaty Between The United Kingdom And Siam Respecting The Extradition Of Fugitive Criminals’.

“Setelah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, pada 27 Oktober 1959 triti ini dipersetujui untuk diteruskan sebagai instrumen ekstradisi antara Malaysia dan Thailand.

“PDRM akan memastikan segala usaha diambil agar kesemua suspek dalam kes berkenaan dapat dibawa ke Malaysia supaya proses undang-undang dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada 24 November 2020, seorang anggota PGA yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand maut ditembak sekumpulan penyeludup daun ketum.

Mangsa yang maut ialah Kope-ral Baharuddin Ramli, 54, manakala seorang lagi anggota, Koperal Norihan a/l Tari, 39, mengalami cedera parah.

Artikel Berkaitan: