Tajaan ke Turki: Polis boleh disiasat, kata TI-M

Akhbar
A
A

SHAH ALAM - Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar menyifatkan kos lawatan kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki yang ditanggung syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai adalah tidak wajar.

Menurutnya, pihak polis sebaiknya tidak menerima sebarang bentuk penajaan daripada pihak persendirian ataupun syarikat swasta.

"Langkah ini bagi mengelakkan badan penguatkuasaan itu terdedah kepada tuduhan amalan rasuah sekali gus menjejaskan imej dan kredibiliti.

ARTIKEL BERKAITAN: Lawatan ke Turki bukan kesalahan, jelas menteri

"Rentetan daripada isu ini, berkemungkinan pihak polis boleh disiasat dan sekiranya berlaku mereka akan berada dalam kedudukan yang sukar kerana telah menerima penajaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata, lawatan ke Turki itu bukan satu kesalahan kerana ia bukan ditaja secara langsung oleh syarikat swasta.

Lawatan itu kata Muhyiddin ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia, yang merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan.

Namun menurut Akhbar, walaupun Da Ma Cai merupakan sebuah syarikat yang membayar cukai kepada kerajaan tetapi pihak PDRM khususnya tidak harus membiarkan kos lawatan kerja ke Turki ditanggung syarikat swasta terbabit atau mana-mana pihak.

"Pada pandangan masyarakat, lawatan itu lebih kepada bercuti berbanding kerja. Jika benar ada keperluan ke sana maka sebaiknya menghantar pegawai dalam jumlah yang kecil bagi tujuan hubungan dan pembelajaran dengan pihak berkuasa Turki.

"Namun, kos perbelanjaan perlu dibiayai Kementerian Dalam Negeri atau kerajaan sahaja," tegasnya.

Baru-baru ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan kos lawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan beberapa pegawai kanan polis ke Turki tidak ditanggung dan diluluskan Kementerian Kewangan sebaliknya, sumber kewangan daripada Da Ma Cai.