Lawatan ke Turki bukan kesalahan, jelas menteri

Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin - Foto Bernama
A
A

SEMENYIH - Lawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersama beberapa pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki bukan menjadi satu kesalahan kerana ia bukan ditaja secara langsung oleh syarikat swasta.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lawatan itu ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia, yang merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan.

“Saya tidak fikir ada kesalahan apa-apa. Kalau ditaja oleh swasta saya tidak akan luluskan. Tetapi ini oleh ’board’ dan ‘board’ ialah (di bawah) Kementerian Kewangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah lagi syarikat judi taja lawatan polis: Najib

“Jadi bagi saya tidak ada isu langsung. Dia nak hantar berapa orang itu bukan “details” yang saya hendak tengok. Siapa hendak pergi saya pun tidak pernah tanya dan mereka pun pergi ikut rombongan yang dicadangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon PH bagi PRK DUN Semenyih di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam yang menyatakan lawatan itu tidak diluluskan oleh kementeriannya tetapi oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia, yang mana syarikat itu mendapat sumber kewangan dari syarikat nombor ramalan (Da Ma Cai).

Muhyiddin berkata, isu mengenai dari mana lembaga berkenaan memperoleh sumber kewangan merupakan isu yang berbeza.

"Macam kes ini, Ketua Polis Negara bawa surat nyatakan satu persatu bahawa tujuan pergi sana adalah sebab itu, ini dan lain-lain perkara dan pihak yang akan menaja ialah dalam kes ini daripada Lembaga Totalisator Malaysia. Datang dari mana-mana (sumber kewangan) itu soal lain," katanya. - Bernama