X

Kindly register in order to view this article
!

Penerbitan filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie guna dana Finas

Filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie
A
A

KUALA LUMPUR - Penerbitan filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie yang memenangi kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021 pada minggu lepas menggunakan peruntukan dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Menurut kenyataan Finas, dana bagi filem yang menggabungkan elemen seram dan aksi serta mengetengahkan kisah pahlawan Dayak Sarawak sekali gus mempromosi budaya, kepelbagaian etnik serta bahasa tempatan Sarawak kepada dunia itu diluluskan pada 2017.

"Tahniah dan syabas atas kejayaan filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie terbitan Hornbill Films Sdn Bhd dan Harry Aziz Entertainment Sdn Bhd," demikian menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan tahniah atas kejayaan filem tersebut dan menyifatkan kemenangan itu membuktikan negara tidak ketandusan bakat dalam menghasilkan karya seni berkualiti antarabangsa selain meneruskan kesinambungan kejayaan filem dan terbitan kreatif tempatan di peringkat global.

Muhyiddin turut berharap agar filem yang dijangka memasuki pawagam pada Ogos depan itu akan mendapat sambutan daripada peminat filem tempatan.

Filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie karya pengarah Ray Lee dan penerbit Misha Minut yang merupakan anak jati Sarawak mengisahkan sekumpulan anak yatim dikurung untuk menjadi bahan uji kaji oleh seorang saintis gila.

Filem berkenaan turut tercalon di International Symbolic Art Film Festival di Rusia dalam dua kategori iaitu Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik yang akan berlangsung pada Sabtu (27 Mac). - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!