Pihak tuduh PN guna dana judi perlu mohon maaf

Susulan pengesahan bertulis di Dewan Rakyat tiada bukti dakwaan

Nik Amar (dua dari kanan) menyampaikan geran tanah kepada penduduk di Tanah Merah.
Nik Amar (dua dari kanan) menyampaikan geran tanah kepada penduduk di Tanah Merah.
A
A
A

TANAH MERAH - Pihak yang menuduh Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi bagi membiayai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu perlu membuat permohonan maaf.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu perlu susulan pengesahan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman bahawa tiada satu pun parti dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi pada PRU15.

“Kita pegang jawapan beliau, tak ada bukti dakwaan itu.

“Sepatutnya siapa-siapa yang membuat tuduhan ini kena tarik balik dan mohon maaf sebab sudah ada jawapan rasmi daripada kerajaan sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah Jajahan Tanah Merah kepada 243 penerima di Gobek di sini pada Isnin.

Sebelum itu, Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan mengatakan PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Katanya, siasatan SPRM mendapati dakwaan itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu, sekali gus tiada fail siasatan dibuka bagaimanapun, Azalina tampil sekali lagi memberi penjelasan lanjut mengatakan jawapan bertulis itu tidak menyatakan siasatan SPRM berhubung dakwaan itu sudah dihenti atau digugurkan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin seterusnya memaklumkan gabungan berkenaan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap perkara itu.

Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau menjelaskan perkara itu belum diputuskan oleh parti berkenaan malah percaya keputusan Annuar untuk menyertai Pas bukan semata-mata untuk bertanding PRN.

“Bertanding di peringkat Dewan Undang Negeri (DUN) terlalu kecil untuk Annuar yang disifatkan sebagai seorang tokoh yang bertaraf nasional.

“Saya percaya beliau sertai Pas hanya nak menyatakan sokongan kepada perjuangan Pas dan menunjukkan rasa tidak puas hati kepada UMNO,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berpandangan kejatuhan nilai ringgit ketika ini membuktikan pelabur asing kurang berkeyakinan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar seharusnya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat terutama melibatkan ekonomi.

“Beliau perlu tumpu kepada isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat seperti isu barang mahal dan ringgit yang jatuh berbanding sibuk mencari orang itu, orang ini untuk disaman,” katanya.