Fenomena musim bunga 'Sakura Malaysia' melanda Perak

 Pengunjung, Voo Swee yin, 56,(kanan), Voo Choy Tai, 64, (tengah ) dan Ngooi yew Sean, 5, (kiri) mengambil peluang untuk berswafoto ketika menikmati pemandangan Musim ‘Sakura Malaysia’ di Tasik Lintang Makmur hari ini.
 -Foto Bernama
Pengunjung, Voo Swee yin, 56,(kanan), Voo Choy Tai, 64, (tengah ) dan Ngooi yew Sean, 5, (kiri) mengambil peluang untuk berswafoto ketika menikmati pemandangan Musim ‘Sakura Malaysia’ di Tasik Lintang Makmur hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Selepas beberapa negeri, kini negeri Perak turut dilanda musim bunga ‘Sakura Malaysia’ yang mengindahkan pemandangan sekitar hingga menjadi tarikan orang ramai.

Tinjauan Bernama mendapati fenomena pokok berbunga warna putih dan merah jambu yang merimbun itu dikesan di beberapa kawasan di Ipoh antaranya Taman Putra Indah di Bercham, kawasan Taman Rekreasi Gunung Lang, dan perkarangan parkir Stadium Perak.

Pengguna jalan raya yang melalui kawasan-kawan berkenaan dilihat memberhentikan kenderaan masing-masing untuk mengambil peluang bergambar di kawasan pokok tekoma atau pun nama saintifiknya Tabebuia Pentaphylla yang mula mekar baru-baru ini.

Nur Aliah Azman, 25, yang ditemui di sini semasa mengagumi panorama indah itu berkata beliau berasa amat teruja kerana pemandangan sedemikian jarang berlaku di negara ini.

“Saya tidak melepaskan peluang untuk bergambar di kawasan Stadium Perak ini dan dikongsi untuk tatapan di laman sosial instagram dan facebook,” katanya.

Selain Ipoh, suasana mempesonakan dengan lambakan bunga yang gugur seakan-akan berada di Jepun itu juga dilihat mewarnai pemandangan jalan dan kawasan sekitar Jalan Muzaffar Shah, Asam Kumbang di Taiping dan Jalan Siakap, Bagan Serai serta Tasik Lintang Makmur di Sungai Siput selain di sekitar Stadium Seri Manjung.

Nor Adilla Idrus, 23, yang ditemui Bernama berkata Tasik Lintang Makmur merupakan antara lokasi pokok tekoma paling indah dan tercantik di Perak untuk bergambar dan menjadi perhatian orang ramai hingga sanggup datang dari luar daerah itu.

“Jika sebelum ini tasik ini hanya menjadi lokasi kunjungan para pemancing namun kini ia menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar dan dikongsikan di laman media sosial masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pokok-pokok tekoma akan mengeluarkan bunga warna putih dan merah muda di beberapa kawasan di negara setiap tahun pada musim panas atau kemarau. - Bernama