Pasukan pembelaan bantah kes Rosmah dipindah

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini dimaklumkan pasukan pembelaan mewakili isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa meminta dan menerima rasuah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, membantah permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar ketika sebutan semula kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.

Bagaimanapun, Mohd Dusuki berkata, tarikh pendengaran bagi permohonan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi telah ditetapkan pada 15 Mac.

“Oleh kerana pemohonan masih lagi tertangguh dan belum lagi diselesaikan di Mahkamah Tinggi, jadi saya pohon tarikh sebutan lain ditetapkan,” kata Mohd Dusuki, dan Azman menetapkan 20 Mac untuk sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Pindah kes Rosmah ke Mahkamah Tinggi untuk keadilan

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah mengesahkan perkara itu dan pihaknya telah menyerahkan afidavit berhubung permohonan untuk memindahkan kes itu namun pihak pendakwaan masih belum memberi jawapan.

“Ya, benar... kita juga telah serahkan afidavit tetapi pihak pendakwaan masih belum menjawab,” katanya.

Pada 15 November tahun lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187,500,000 dan menerima rasuah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah turut diwakili peguam Datuk Jagjit Singh. Suaminya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelaki mereka Mohd Ashman turut hadir pada prosiding hari ini. - Bernama