MAFI peruntuk RM15 juta lahirkan 750 agropreneur muda

Penerima geran bergambar bersama Che Abdullah sempena Program Lawatan Kerja Agropreneur Muda di KADA Tumpat pada Jumaat.
Penerima geran bergambar bersama Che Abdullah sempena Program Lawatan Kerja Agropreneur Muda di KADA Tumpat pada Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan RM15 juta bagi melahirkan 750 agropreneur muda sepanjang tahun 2021 di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sasaran tersebut mampu dicapai dengan bantuan geran dan pembiayaan yang tinggi disediakan oleh kerajaan termasuk bimbingan khas.

Menurutnya, penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan sangat penting dan dialu-alukan untuk membantu pembangunan industri makanan negara yang kebanyakkannya melibatkan kumpulan mereka yang sudah berusia.

"Sejak tahun 2016, Program Agropreneur Muda (PAM) telah dilancarkan bagi membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan membabitkan individu berumur 18 hingga 40 tahun.

"Menerusi Geran Agropreneur Muda (GAM) yang berbentuk barangan ini juga mampu meningkatkan pengeluaran hasil dan menambah pendapatan agropreneur muda," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau ditemui sempena Program Lawatan Kerja Agropreneur Muda ke daerah Tumpat di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Tumpat yang turut dihadiri Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Che Abdullah berkata, menerusi program tersebut golongan muda diberikan pendedahan dan bimbingan secara efisien dalam aspek tanaman, ternakan, perikanan, industri makanan, agropelancongan dan juga pemasaran.

"Seramai 6,969 agropreneur muda seluruh negara telah menerima kelulusan PAM bermula 1 Januari hingga 24 Disember 2020 dengan jumlah RM126,23 juta.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tahun 2020 pula seramai 1,149 orang agropreneur muda seluruh negara menerima kelulusan GAM bermula 1 Januari hingga 24 Disember 2020 yang berjumlah RM21.73 juta," katanya.

Sementara itu di Kelantan katanya, 509 orang agropreneur muda telah menerima kelusan GAM dari 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2020 dengan nilaian RM8.86 juta.