MBI ambil pendekatan berunding dengan penjual jeruk

RUMAIZI
RUMAIZI
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang dalam rundingan bersama penjaja jalanan terutama penjual jeruk bagi mencari resolusi terbaik terhadap aktiviti menjaja di kawasan lampu isyarat di bandar raya ini.

Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin berkata, antara syor yang dicadangkan ketika ini adalah mengguna pakai konsep penghantar makanan seperti Grab Food dan Food Panda.

Bagaimanapun menurutnya, cadangan itu masih dalam peringkat penelitian kerana perlu mendapatkan maklum balas secara keseluruhan daripada penjaja sendiri dari aspek kesesuaian dan kebolehpasaran.

"Ada yang mencadangkan agar diberikan tapak niaga kepada mereka, cara itu tidak boleh dilaksanakan buat masa ini. Oleh kerana kita sekarang ke arah pendigitalan, konsep grab food atau food panda lebih sesuai digunakan.

"Perkara ini masih dalam rundingan dan kita akan dapatkan maklum balas mereka terlebih dahulu agar pelaksanaannya kelak memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi projek Pertanian Bandar di Kaki Gunung Masoorat di Bilik Mesyuarat Utama Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu penjaja jalanan selepas pihak berkuasa meminta mereka menghentikan aktiviti berkenaan kerana membahayakan pengguna jalan raya lain dengan mencari lokasi yang lebih sesuai.

Rumaizi berkata, pihaknya tidak berhasrat mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti seumpama itu kerana memahami kekangan serta halangan dihadapi peniaga.

Justeru katanya, dalam menangani perkara berkenaan, MBI mengambil langkah mendidik peniaga sepertimana dilaksanakan di bandar-bandar besar di Jepun.

Artikel Berkaitan:

"Dalam pengurusan bandar ini ada dua kaedah, pertamanya penguatkuasaan sepertimana kita lihat di Singapura atau kedua menerusi pendidikan sebagaimana bandar raya di Jepun.

"Dalam konteks ini, MBI ambil kaedah seperti di Jepun, konsep pendidikan ini memerlukan dua hala. Kita beri mereka pilihan dan kita dengar juga pandangan balas daripada mereka," katanya.

Pada Khamis, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid memberi peringatan bahawa pihaknya akan terus menjalankan penguatkuasaan seperti saman terhadap peniaga yang dikesan menjalankan aktiviti menjaja di kawasan lampu isyarat di negeri ini.