Perokok tidak hirau tanda larangan

Pelanggan sedang merokok di sebuah kedai makan di Sabak Bernam. Gambar kecil: Mohd Fairuz
Pelanggan sedang merokok di sebuah kedai makan di Sabak Bernam. Gambar kecil: Mohd Fairuz
A
A
A

SABAK BERNAM - [LAPORAN KHAS] Penguatkuasaan larangan merokok di semua premis makanan semakin longgar apabila kebanyakan pelanggan sudah tidak lagi bimbang dikenakan tindakan undang-undang.

Tinjauan Sinar Harian di sebuah premis makanan di daerah ini mendapati kebanyakan perokok memilih meja makan di kaki lima kedai untuk merokok secara terbuka.

Meskipun premis itu mempamerkan tanda larangan merokok tetapi tidak dihiraukan perokok tegar terbabit.

Seorang penduduk, Mohd Fairuz Saleh, 33, berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta menguatkuasakan larangan merokok dengan lebih tegas.

“Janganlah (tindakan penguatkuasaan) ini dijalankan sekerat jalan sahaja hingga menyebabkan perbuatan ini kembali menular dengan serius.

“Saya sebenarnya perokok tetapi apabila singgah di kedai makan, saya mesti hormati pelanggan lain yang ada di sekeliling,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Mohd Firdaus Ikhsan, 35, berkata, kerajaan perlu menetapkan garis panduan yang jelas berhubung perkara itu.

“Mungkin tindakan kerajaan melarang merokok di premis makanan dan tempat terbuka bukanlah tindakan populis tetapi ternyata kerajaan tidak kompromi soal kesihatan penduduk.

Artikel Berkaitan:

“Kita berharap tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih kerap agar pesalah dikenakan hukuman setimpal,” katanya.