Anjing jadi hero selamatkan tuan alami sawan

Aksi Clover berada di tengah jalan untuk menghentikan kenderaan agar tuannya dapat diselamatkan tular di laman sosial. - Foto CTV News
Aksi Clover berada di tengah jalan untuk menghentikan kenderaan agar tuannya dapat diselamatkan tular di laman sosial. - Foto CTV News
A
A
A

OTTAWA - Seekor anjing diangkat sebagai hero setelah menyelamatkan tuannya yang mengalami sawan semasa berjalan kaki di Tittsville, Ottawa, Kanada.

Lapor CTV News, kejadian berlaku pada 16 Mac lalu semasa Haley Moore bersiar-siar dengan anjing bernama Clover berusia setahun setengah.

Insiden itu berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di pinggir jalan memaparkan Clover cuba menyelamatkan tuannya dan mendapat perhatian ramai.

Dalam rakaman terbabit, Clover berada di tengah jalan untuk menghentikan sebuah kereta yang dipandu oleh Dryen Oatway.

"Ia sangat mengagumkan. Anjing itu sebenarnya menghalang jalan. Saya lihat anjing dalam keadaan resah dan kepalanya menghala ke arah Haley yang sudah terbaring di kaki lima jalan.

"Saya bergegas keluar dari kereta dan terus melihat keadaan Haley. Saya mendapatkan bantuan daripada jiran terdekat dan Haley berjaya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan," kata Dryen pada Rabu.

Mengimbau kembali peristiwa itu Haley berasa kagum dan gembira diselamatkan oleh anjing peliharaannya.

"Waktu itu saya hanya ingat berada di dalam ambulans dan memikirkan apa yang sedang berlaku. Namun Clover adalah hero," katanya.

Artikel Berkaitan: