X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas pengarah didakwa jalankan aktiviti pasaran modal tanpa lesen

A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Pengarah UAS Bistari Management Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan berkaitan aktiviti pasaran modal tanpa lesen.

Tertuduh, Uzir Abdul Samad, 49, merupakan orang yang dikehendaki sejak tahun 2016 berdepan dengan pertuduhan iaitu mengaku sebagai pengurus dana, walhal dia tidak dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi menjalankan aktiviti pengurusan dana yang dikawal selia.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 58 (1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 362 (3) CMSA kerana menggunakan gelaran 'Pengurus Dana' dan 'Pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL) Suruhanjaya Sekuriti' dengan tujuan mendapatkan kepercayaan bahawa dia dilesenkan untuk menjalankan perniagaan pengurusan dana.

Jika sabit kesalahan, dia berdepan dengan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.

Sebaik sahaja pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Hakim Tuan Aizatul Akmal Maharani menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 14 April depan.

Mahkamah turut menolak ikat jamin terhadap tertuduh sementara menunggu perbicaraan terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Ia diputuskan selepas mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa Uzir merupakan individu yang berisiko untuk melarikan diri.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Mohd Hafiz Mohd Yusoff serta Pegawai Pendakwa, Mageswary Karropiah dan Muhammad Izzat Fauzan, manakala tertuduh diwakili peguam Azzuan Shah.

Berdasarkan fakta kes, Uzir yang selama ini bebas sejak tahun 2016 ditahan oleh penguat kuasa SC pada Isnin di kediamannya di Selangor susulan maklumat daripada pihak awam.

SC telah menyenaraikan Uzir sebagai individu yang dikehendaki sejak tahun 2016 selepas mendapat waran tangkap terhadapnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!