'Biarlah orang sepatutnya bercakap'

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

IPOH - Pemimpin UMNO dinasihatkan supaya lebih tertib dalam mengeluarkan sebarang kenyataan secara terbuka di sebalik ruang keterbukaan menerusi demokrasi di dalam parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebaik-baiknya sebarang kenyataan atau pandangan di dalam parti perlu diberikan kepada pemimpin yang sudah diberikan tanggungjawab untuk mengeluarkan kenyataan bagi pihak parti.

Menurutnya, apabila ramai pemimpin yang mahu mengeluarkan kenyataan dan pendapat ia memberi ruang kepada suasana kurang menyenangkan di dalam parti.

"Dari dulu UMNO macam itu, bukan baharu. Dari zaman Tun Dr Mahathir Mohamad pun macam itu juga. Ramai nak bercakap. Keterbukaan dalam demokrasi terlampau luas, sampai semua orang nak bercakap. Kadang-kadang tak perlu pun.

"Kalau boleh saya katakan, biarlah pihak-pihak diberikan tanggungjawab bercakap sudahlah, tapi yang tak diberi tanggungjawab bercakap nak bercakap juga, kalau tak bercakap dia tulis jadi susahlah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Program CSR Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ceria Ke Sekolah Peringkat Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Mahdzir berkata, rakyat mahu melihat UMNO dalam keadaan terbaik kerana percanggahan pendapatan akan mengheret parti dalam suasana yang tidak begitu baik.

Katanya, UMNO bukan sahaja memerlukan sokongan daripada ahli parti tetapi mereka juga memerlukan keyakinan individu yang berada di luar parti.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi TNB berkata, seramai 3,800 pelajar seluruh Perak menerima manfaat daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB Ceria Ke Sekolah.

Katanya, Perak merupakan negeri kedua terakhir sebelum Wilayah Persekutuan yang menerima sumbangan tersebut yang disasarkan kepada keluarga kurang berkemampuan.

"Bagi seluruh negara, kita telah membelanjakan RM3 juta untuk CSR Ceria Ke Sekolah tahun 2021 dan saya juga mencadangkan hujung tahun ini ada satu tambahan lagi iaitu Ceria Ke Sekolah ini termasuk untuk anak-anak kakitangan TNB melalui Pelitawanis.

"Permintaan kerajaan Perak untuk membantu Program Tuisyen Cikgu Saarani, saya akan bawa ke peringkat pengurusan untuk pertimbangan bagi pelaksanaan program ini," katanya.