'Saya tak menyesal berhenti kerja'

Abdul Rahman menunjukkan nanas MD2 yang sudah mencapai tempoh matang di kebunnya di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi.
A
A

PONTIAN - Nekad meninggalkan kerja makan gaji, Abdul Rahman Ahmad, 53, tidak pernah menyesal berbuat demikian.

Malah titik peluhnya mengusahakan nanas MD2 yang mendapat tinggi di pasaran boleh dianggap berjaya.

Sebut sahaja MD2 atau Ananas Comosus pasti terbayang nanas yang manis dan harga lebih tinggi di pasaran dan mendapat permintaan tinggi di China.

Tentunya nanas MD2 menjadi pilihan Abdul Rahman dengan mengusahakan tanaman tersebut di atas tanah seluas 0.8 hektar bermula pada 2017 walaupun pada awalnya menghadapi masalah.

Beliau seterusnya pulang ke kampung di Pontian selepas berhenti kerja di sebuah kilang di Johor Bahru untuk mengusahakan tanaman nanas.

“Dengan wang simpanan bekerja dikilang sebelum ini, saya beli anak benih nanas MD2 dengan pengusaha di Simpang Renggam, Kluang.

“Pada awalnya, saya tanam 2,000 pokok nanas MD2 yang mengambil tempoh matang 12 bulan yang dipasarkan secara terus kepada orang ramai di Kampung Parit Panjang,” katanya.

Jualan terus kepada pembeli Kedudukan kebun yang terletak di persimpangan Jalan Parit Sikom-Parit Panjang ke Felda Bukit Batu yang merupakan laluan keluar masuk melalui Tol Sedenak di Lebuhraya Utara Selatan memudahkan jualan terus dilakukan kepada pembeli.

Jalan utama di situ menjadi laluan penting kepada penduduk dan orang ramai sekali gus memudahkan jualan.

Manakala harga jualan terus kepada pengguna yang membeli dari kebun atau ladang boleh mencapai harga RM2 hingga RM4 sekilogram bergantung pada saiz nanas.

“Ini kelebihan bukan sahaja kepada kami, tetapi juga pekebun nanas lain di Kampung Parit Panjang menjual tanaman mereka kepada orang ramai yang melalui laluan tersebut pada setiap hari.

“Saya yang mampu jual antara 100 hingga 200 nanas sehari termasuk juga buah nanas Jospahine,” katanya.

Katanya, kerja-kerja menjual nanas MD2 turut dibantu isteri, Maslinda Mastor, 41. Bagi memastikan bekalan tidak terputus, beliau mendapatkan bekalan dari pengusaha ladang nanas di Simpang Renggam 1,000 biji setiap minggu.

Petik sendiri nanas di ladang Jelas Abdul Rahman bagi memberikan kepuasan kepada pelanggan, mereka juga diberikan peluang memilih dan memetik nanas MD2 di kebunnya terutama pelancong luar Pontian.

Tambah beliau, pelanggan yang datang bukan sahaja dari Johor, tetapi dari Melaka, Perak, Kuala Lumpur mahupun dari Singapura yang tertarik dengan deretan nanas seolah-olah bertopi itu.

“Nanas kami juga turut ditempah masyarakat Tionghua yang menyambut Tahun Baharu Cina di mana mereka meletakkan tanda bagi dipetik sebelum sambutan perayaan tersebut,” jelasnya.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana membina dua unit tandas bagi kegunaan pelancong yang singgah di rumahnya selain pembinaan jambatan baharu masuk ke kebunnya pada tahun lalu.