Polis nafi Nicky Liow sudah ditangkap

Ayob Khan menunjukkan gambar suspek dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Ahad.
Ayob Khan menunjukkan gambar suspek dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis masih meneruskan usaha mengesan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33, yang terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram serta jenayah komersil.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ini bagi memastikan suspek dapat dibawa segera ke muka pengadilan.

Jelas beliau, penularan berita dalam sebuah portal ketika ini yang memberitahu suspek sudah ditangkap adalah tidak benar.

"Polis Johor mengesahkan bahawa berita ini yang disebarkan itu tidak benar sama sekali.

"Polis Johor ingin menegaskan kepada orang ramai untuk tidak menularkan atau menyebarkan sebaran berita tidak benar tanpa merujuk kesahihannya kepada pihak yang bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Laporan portal berkenaan mendakwa suspek ditahan di sebuah kelab malam di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur selepas usaha pencarian dijalankan polis selama 18 jam.

Sebelum ini dalam sidang akhbar, Ayob berkata, pengasas Winner Dynasty Group itu dikehendaki untuk siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

Menurutnya, polis Johor telah mengadakan operasi dengan melakukan serbuan di Puchong pada Sabtu dan menahan 12 individu termasuk seorang berpangkat Datuk Seri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sindiket itu besar, banyak melibatkan penipuan dan scam, bahkan suspek berpengaruh dan mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang kenamaan termasuk pegawai agensi penguat kuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Johor buru Datuk Seri dalang kes gubah wang haram