UMNO yakin sentuhan Bossku di Semenyih

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sambutan hebat diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah pasar raya di Semenyih kelmarin menunjukkan rakyat merindui zaman pemerintahannya.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ia juga memberi gambaran BN akan meneruskan rentak kemenangan di PRK Semenyih selepas PRK Cameron Highlands.

"Parti akan berusaha tanpa henti untuk merampas kembali kerajaan. Sudah semestinya kemenangan di PRK Cameron Highlands menjadi pembakar semangat jentera dan akan bersambung di Semenyih.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya pencuri hati rakyat'

"Sambutan hebat untuk Najib ini secara tak langsung menunjukkan zaman pemerintahannya dirindui oleh rakyat," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Najib kini sudah menjadi satu fenomena dan ia memberi kelebihan kepada BN dalam PRK Semenyih.

"Walaupun Najib tak tersenarai sebagai penceramah BN di Semenyih, tapi kehadiran beliau mendapat sambutan luar biasa. Sudah tentu ia memberi impak baik kepada BN.

"Orang dah mula rindukan Najib dan BN. Pengundi di Semenyih pun dah naik 'syeikh' untuk sokong BN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun Najib berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah tetapi ia tidak menjejaskan kempen BN.

"Sudah pasti PH akan mainkan isu pertuduhan Najib di mahkamah, tetapi rakyat sudah pun bosan," katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, sambutan diberikan kepada Najib di luar dugaan walaupun kempen sebenar PRK Semenyih belum bermula.

"Ramai yang memberitahu terdapat gelombang besar perubahan politik sedang berlaku. Pertama, kesan gandingan dua parti besar Melayu UMNO-Pas.

"Kedua, akibat kekecewaan menyeluruh rakyat terhadap prestasi kerajaan PH yang gagal memenuhi harapan harapan rakyat. Ketiga, kesan mesej berterusan Najib melalui media sosial yang menyentuh hati rakyat semua terutama golongan muda," katanya.

Menurut beliau, semua ini menguntungkan BN dan beliau yakin rentak kemenangan di Cameron Highlands akan berterusan di PRK Semenyih.

Kelmarin, kunjungan Najib ke sebuah pasar raya di Semenyih mendapat sambutan hangat apabila beliau diserbu oleh rakyat yang ingin bergambar dan bersalaman dengannya.

Menurut Najib, beliau tidak menyangka kehadirannya mendapat sambutan luar biasa dan ia menunjukkan rakyat sememangnya ingin mendekati dirinya sebagai seorang pemimpin di negara ini.