Lazada, Shopee bendung produk tiada label keselamatan

Pelanggan perlu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menemui barang yang tidak menepati label keselamatan atau ada unsur penipuan untuk diambil tindakan segera.
Pelanggan perlu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menemui barang yang tidak menepati label keselamatan atau ada unsur penipuan untuk diambil tindakan segera.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat e-dagang akan terus mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dalam membendung kegiatan jualan barangan tiada label keselamatan.

Menurut jurucakap Lazada, pihaknya turut bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas peniaga yang tidak mematuhi peraturan berkenaan.

“Kami beroperasi secara serius melalui pendekatan pemberitahuan, penyiasatan dan penghapusan.

“Cadangan dan langkah-langkah juga telah dilakukan untuk mengekang penjualan barang penipuan dan haram di platform ini.

“Tindakan ini bagi meningkatkan kepercayaan dan menjaga pembeli supaya kekal membeli di platform kami,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Lazada turut menasihatkan pelanggan supaya membuat laporan jika menemui barangan yang tidak menepati label keselamatan atau ada unsur penipuan untuk diambil tindakan segera.

Sementara itu, Shopee akan terus menawarkan persekitaran beli-belah yang selamat untuk pengguna.

Menurut jurucakap Shopee, pihaknya sentiasa mematuhi piawaian pihak berkuasa tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Para penjual diwajibkan mematuhi dasar Shopee serta undang-undang dan peraturan yang ditentukan oleh kerajaan Malaysia.

“Kami juga mengeluarkan peringatan kepada ahli komuniti penjual di Shopee secara berkala, supaya mereka mendapatkan pensijilan untuk produk masing-masing dan mematuhi undang-undang Malaysia,

“Ini termasuklah mematuhi piawaian Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dan memperoleh pensijilan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM),” katanya.

Tambahnya, Shopee turut menggalakkan pengguna melaporkan sebarang produk yang disyaki tidak sah, tidak selamat, ataupun haram di sisi undang-undang.