X

Kindly register in order to view this article
!

Selangor kekal larangan guna kalimah ALLAH dalam Bible

SULTAN SHARAFUDDIN
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan bahawa sebarang penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible terjemahan Bahasa Melayu atau penerbitan tulisan agama Kristian adalah dilarang di negeri ini.

Sultan Sharafuddin mengulangi pendirian berkenaan kerana kalimah ALLAH adalah sesuatu yang suci bagi umat Islam dan hanya boleh digunakan merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

Titah baginda, kalimah ALLAH sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

"Namun demikian sekiranya perkataan 'Tuhan' digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan 'God', beta tiada halangan atas penggunaan tersebut.

"Penegasan beta ini juga selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang diwarta negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan atau disamakan dengan Tuhan bagi agama-agama bukan Islam lain," titah baginda dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut bertitah agar umat Islam di Selangor dapat menjaga kesucian kalimah ALLAH pada setiap masa dalam apa jua keadaan sekali pun.

Titah baginda, rakyat bukan Islam di negeri ini juga perlu akur dan patuh larangan berkenaan sepertimana terkandung di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang diwartakan pada 7 Julai 1988.

"Apa gunanya beta menjadi Ketua Agama Islam Selangor jika beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah ALLAH dan kesucian agama Islam daripada dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

"Beta sentiasa menekankan agar rakyat beta dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba menyentuh sensitiviti agama yang boleh merosakkan perpaduan di Selangor.

"Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka, maka beta juga menggesa agar penganut agama lain selain Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah ALLAH yang menjadi pegangan utama mereka," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menyokong penuh titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini yang meminta kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

"Beta juga menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan tersebut dan turut menyeru agar perkara sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri lain bagi memelihara kemuliaan agama Islam," titah baginda.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan ALLAH, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia sebelum ini turut memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Sultan Ibrahim sebelum ini menzahirkan rasa dukacita dengan isu penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam dan baginda menyeru kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan dalam prosiding berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!