X

Kindly register in order to view this article
!

Ancaman Korea Utara: PDRM tingkat kawalan keselamatan

Tan Sri Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Semua pesuruhjaya polis, ketua polis negeri dan pengarah jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan memantau perkembangan semasa isu Korea Utara susulan kenyataan Kaunselor Kedutaan negara berkenaan di Malaysia, Kim Yu-Song.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya mengambil langkah berwaspada bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kejadian yang tidak diingini berlaku di negara ini.

“PDRM sentiasa mengambil pendekatan untuk terus berhati-hati kerana banyak kejadian-kejadian (isu keselamatan) yang mengaitkan dengan Korea Utara.

Tindakan untuk meningkatkan pengawasan, pemantauan di lokasi-lokasi sensitif diteruskan dan digandakan sehingga ke satu masa dan tarikh kita berasa selesa bahawa tidak ada lagi risiko begini,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini pada Selasa.

Abdul Hamid berkata, beliau mengharapkan isu sedemikian dapat diselesaikan dengan baik dan sekiranya kerajaan Korea Utara tidak berpuas hati mereka boleh mengambil langkah-langkah mengikut protokol antarabangsa.

“Sebenarnya apa yang berlaku ini bukanlah disebabkan kita ingin memusuhi Korea Utara tetapi mereka yang membuat keputusan sendiri untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia kerana marah apabila seorang rakyat negara itu diekstradisi ke Amerika Syarikat,” katanya.

Jumaat lepas, Pyongyang mengumumkan ia menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, apabila pada awal bulan ini mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada hari sama, Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, ia kesal dengan keputusan Korea Utara itu dan sebagai tindak balas, Malaysia akan menutup kedutaan besarnya di negara berkenaan yang operasinya sudah digantung sejak 2017.

Kerajaan juga mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara dan ahli keluarga mereka di Kuala Lumpur supaya meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam pada hari sama.

Malaysia dan Korea Utara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1973 serta mengecapi pelbagai pencapaian diplomatik dan perdagangan hinggalah pada 2017 selepas Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di Malaysia. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia akan terima akibat, kata konsulat Korea Utara

Korea Utara putus hubungan diplomatik

PDRM siap sedia sebarang kemungkinan: KPN


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!