Kebebasan bersuara perlu ada batasan

No Image Caption
A
A
A

GOLONGAN pengamal media sentiasa berpegang kepada prinsip dan profesionalisme ketika menjalankan tugas dalam memberikan maklumat kepada pembaca.

Demi menjaga keamanan dan kesejahteraan awam, pengamal media yang bertanggungjawab tidak pernah menyebarkan berita palsu, sebaliknya sentiasa berwaspada menulis dengan berfakta dan tepat.

Sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, kerajaan Malaysia terus mengalu-alukan kebebasan bersuara kepada rakyat namun secara berhemah mengikut lunas undang-undang.

Ketika penyebaran berita secara meluas dan mudah melalui sosial media, maka satu undang-undang dikenakan bagi menghalang ‘kebanjiran’ berita-berita yang tidak berasas sehingga boleh mencetuskan ketidakselesaaan terhadap orang ramai.

Menurut peruntukan dalam Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No 2) 2021 Warta Kerajaan Persekutuan, bermula 12 Mac lalu, mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19 dan proklamasi darurat boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 dan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Mengikut peraturan itu, mana-mana orang melalui apa-apa cara dengan niat menyebabkan ketakutan dan kebimbangan orang awam atau kepada mana-mana golongan orang awam, menyebarkan berita tidak benar boleh dikenakan hukuman seperti yang ditetapkan.

Selain itu, jika kesalahan itu dilakukan berterusan, denda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Kebanyakan berita palsu yang tersebar umumnya boleh didapati melalui komen-komen oleh golongan netizen dalam media sosial.

Artikel Berkaitan:

Golongan ini bukan sahaja menulis berita tidak berasas, malahan tidak kurang juga mengandungi kata-kata yang boleh menyemarakkan rasa kebencian antara kaum di negara kita.

Rakyat telah diberi hak untuk bersuara dan memberi pendapat, namun ia tidak bolehlah disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya.