45 peniaga dihimpunkan secara berpusat

Vidyananthan (tengah) dan Abdul Hakim (kiri) menyerahkan apron dan tanda nama gerai kepada peniaga yang terpilih terima Insentif daripada MDSR, di Taman Sri Lambak, Kluang pada Ahad.
Vidyananthan (tengah) dan Abdul Hakim (kiri) menyerahkan apron dan tanda nama gerai kepada peniaga yang terpilih terima Insentif daripada MDSR, di Taman Sri Lambak, Kluang pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - Peniaga gerai sekitar Jalan Lingkaran 1 dan 2 yang berniaga secara tidak tersusun kini dihimpunkan secara berpusat di tapak niaga berbumbung di hentian bas Taman Sri Lambak bermula Ahad.

Perlaksanaan melalui program Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) itu menjadikan perniagaan dilakukan secara berkelompok dan secara tidak langsung mampu menarik kedatangan lebih ramai pelanggan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R Vidyananthan berkata, seramai 45 peniaga yang ditempatkan itu hanya perlu membayar sewa bulanan RM60 sebulan bagi setiap tapak yang disewa.

Menurutnya, peluang ini perlu digunakan semua peniaga terlibat bagi meningkatkan pendapatan harian mereka kerana dengan sewa kira-kira RM2 sehari sudah pasti tidak akan membebankan mereka.

"Apa yang perlu dilakukan mereka sekarang adalah meningkatkan usaha perniagaan masing-masing bagi menarik lebih ramai pelanggan untuk datang ke pusat perniagaan yang dinamakan sebagai D'Selera T6 ini.

"Insentif ini juga dilihat sebagai sesuatu yang terbaik membantu semua golongan peniaga membangunkan perniagaan masing-masing," katanya.

Vidyananthan yang juga Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Insentif MDSR di Dewan Orang Ramai MDSR, di taman itu pada Ahad.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Abdul Hakim Abd Manap dan Ahli Majlis MDSR, Sarudin Nasir.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Hakim berkata, melalui program Insentif dan MDSR Prihatin, pihaknya sudah menyerahkan 13 unit tapak penjaja di Taman Harmoni di Simpang Renggam dekat sini.

Katanya, pihaknya juga menyediakan lima unit tapak penjaja berkenderaan di Zon Food Truck di Simpang Renggam, 10 kiosk rata berdapur termasuk 45 unit tapak penjaja berbumbung di Taman Sri Lambak di sini.

"Pihak kami mengharapkan semua peniaga yang sudah menerima Insentif dan MDSR Prihatin ini menggunakannya dengan sebaik mungkin termasuk memanfaatkannya pada bulan Ramadan nanti.

"Saya juga berharap semua dapat berniaga dengan penuh harmoni di samping menjaga kebersihan persekitaran gerai masing-masing bagi memastikan tidak mendatangkan sebarang masalah khususnya berkaitan pencemaran sampah," katanya.