Bekas Pengurus Besar PPNT didenda RM5,000 palsukan dokumen

Tertuduh, Che Sa'adon Che Yahya, 57, didenda RM5,000 selepas didapati bersalah memalsukan dokumen bagi pembelian benih ikan kerapu hibrid RM600 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, pada Ahad
Tertuduh, Che Sa'adon Che Yahya, 57, didenda RM5,000 selepas didapati bersalah memalsukan dokumen bagi pembelian benih ikan kerapu hibrid RM600 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, pada Ahad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Terengganu (PPNT) dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda, oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad berhubung pertuduhan memalsukan dokumen membabitkan RM600 untuk pembelian Ikan Kerapu Hibrid.

Hakim Jamaludin Mat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Che Sa'adon Che Yahya, 57, didapati bersalah apabila pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu satu resit bertarikh pada 17 September 2016 bagi pembelian Ikan Kerapu Hibrid RM600 yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PPNT pada September 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurshafini Mustafha manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.

Pada 7 Februari lalu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan selepas tertuduh didapati bersalah memalsukan invois pembaikan kenderaan pacuan empat roda Toyota Fortuner milik PPNT berjumlah RM1,140, sedangkan pembayaran dibuat untuk kenderaan pelbagai guna Toyota Wish miliknya.

Artikel Berkaitan: