DAP ulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan UMNO

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - DAP sekali lagi mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan pemimpin kleptokrat malah Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti tidak mengubah kedudukan dasar sebelumnya.

Menurutnya, kerjasama dengan UMNO ketika ini hanya berlaku atas dasar kepentingan dan manfaat rakyat seperti dilakukan dengan kerajaan negeri Johor dan Perak yang mana mereka memberikan jumlah peruntukan yang sama kepada wakil rakyat pembangkang untuk membantu rakyat.

"Sehingga CEC buat keputusan lain, ini adalah pendirian parti (DAP). Kita boleh ada mesyuarat dan perbincangan dengan kerajaan negeri Johor dan Perak, tiada masalah, tetapi tidak ada kerjasama politik dalam PRU15, ini perlu jelas.

"Sebab itu, bila saya sebut untuk faedah rakyat sebagai contoh DAP dan PH (Pakatan Harapan) sedia kerjasama dengan wakil rakyat UMNO yang sama-sama mahu Parlimen bersidang semula, adakah ini salah?" katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang di SPICE Arena di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, DAP berharap dapat menyatupadukan semua wakil rakyat sama ada daripada blok pembangkang mahupun kerajaan mempertahankan demokrasi berparlimen di negara ini dan menghalang Perikatan Nasional (PN) menjadi sebuah kerajaan yang gagal.

Katanya, DAP berharap ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan dapat bersama-sama menggesa supaya Parlimen dapat bersidang semula.

"DAP bersedia bekerjasama dengan Ahli Parlimen UMNO untuk memaksa kerajaan PN mengadakan sidang Parlimen dan mengkaji undang-undang yang keterlaluan seperti mengenakan denda kompaun RM10,000 kepada individu dan RM50,000 ke atas syarikat atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

"Ini berbeza dengan kerjasama politik dalam pilihan raya umum akan datang. Kita mesti memulihkan Parlimen untuk melindungi hak-hak rakyat," katanya.