X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Kluster baharu dikesan di Depot Imigresen

Saringan ke atas semua pegawai dan tahanan di Depot Imigresen Semuja mendapati seramai 99 tahanan dikesan positif Covid-19. (Gambar hiasan).
A
A

KUCHING - Satu kluster baharu membabitkan tahanan di Depot Imigresen Semuja di daerah Serian merupakan antara dua kluster baharu yang dikesan di Sarawak pada Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kluster itu dikesan susulan saringan ke atas semua anggota imigresen dan tahanan di depot tersebut.

Beliau berkata, saringan itu dilakukan berikutan maklumat terdapat individu positif Covid-19 dalam kalangan pendatang tanpa izin yang diusir keluar sebelum ini.

“Hasil saringan ke atas semua pegawai dan tahanan di depot tersebut pada 16 dan 17 Mac lepas mendapati seramai 99 tahanan telah dikesan positif Covid-19.

“Sejumlah 584 individu telah disaring dan 99 kes dikesan positif termasuk kes indeks, 185 kes didapati negatif dan 300 kes menunggu keputusan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Uggah berkata, setakat ini mereka yang dikesan positif Covid-19 bagi kluster itu terdiri daripada tahanan sahaja dan tidak melibatkan anggota imigresen di depot tersebut.

“Semua 99 kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid yang telah dibuka dan beroperasi di dalam depot itu sendiri bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini mengumumkan pengesanan Kluster Sungai Atap di daerah Meradong.

Beliau berkata, kluster itu merupakan kluster komuniti yang melibatkan sebuah rumah panjang di Sungai Atap, Ulu Strass dalam daerah Meradong di Sarikei.

“Sejumlah 148 individu telah disaring dan 19 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 125 kes didapati negatif dan empat kes menunggu keputusan,” katanya.

Hari ini, Sarawak mencatat 303 kes baharu Covid-19 dengan satu kematian. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!