Peragut diberkas kurang 48 jam

ARIFAI
ARIFAI
A
A
A

GOMBAK - Seorang penjenayah berjaya diberkas dalam tempoh kurang 48 jam selepas meragut beg tangan seorang wanita dalam kejadian di Taman Ehsan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa yang berusia 57 tahun diragut di depan rumahnya ketika hendak membuka pintu kereta.

Menurutnya, suami pengadu dan jirannya bertindak mengejar suspek yang menunggang motosikal Yamaha Legenda hingga ke jalan besar Taman Ehsan.

"Tiba-tiba suspek telah terjatuh dan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di tepi jalan berserta beg tangan milik pengadu.

"Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Susulan itu katanya, pada Selasa sekitar jam 3.30 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Gombak telah berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Kampung Selayang Lama.

"Suspek disyaki terlibat dalam kes samun itu yang dilakukan secara berseorangan. Suspek terjatuh ketika dalam proses melarikan diri dan motosikal ditemui kira-kira 500 meter dari rumah mangsa.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu hingga Selasa depan untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Arifai berkata, suspek berusia 33 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah.