X

Kindly register in order to view this article
!

Lencana vaksin untuk individu selesai ambil vaksin Covid-19

DR ADHAM
A
A

PUTRAJAYA - Lencana Vaksin My Covid-19 bakal diberikan kepada individu yang telah lengkap pengambilan pelalian Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, lencana berbentuk kad segi empat tepat itu sebagai bukti seseorang individu menerima vaksin selain sijil digital di aplikasi MySejahtera.

"Lencana ini tidak boleh ditiru kerana terdapat kod keselamatan. Ia juga merupakan keperluan masa depan," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Rabu.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk mengeluarkan sijil digital menerusi aplikasi MySejahtera terhadap individu yang melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) selaras dengan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung pasport vaksin.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, seramai 5,742,572 individu daripada 24.3 juta penduduk berumur 18 tahun telah berdaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Katanya, daripada jumlah yang telah mendaftar di MySejahtera, 12.6 peratus adalah yang berumur 60 tahun ke atas dan 19.6 peratus mempunyai komorbiditi.

"Keseluruhannya, 25.9 peratus daripada jumlah pendaftar akan diberikan vaksin semasa fasa kedua PICK," katanya.

PICK fasa pertama yang sedang berlangsung menyaksikan 346,508 orang telah menerima dos pertama vaksin Comirnaty.

"Ia merupakan 69.3 peratus daripada jumlah sasaran keseluruhan penerima vaksin semasa fasa pertama, iaitu 500,000 orang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!