'Tak adil kata polis kejam'

SHAHRUL LAILI
SHAHRUL LAILI
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka menegaskan kompaun RM10,000 yang dikeluarkan kepada individu ingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berdasarkan apa yang telah dikuatkuasakan kerajaan.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata, tidak sewajarnya timbul isu polis bertindak kejam atau tidak adil sedangkan hebahan mengenai kompaun itu telah diuar-uarkan dalam pelbagai bentuk termasuk menerusi media.

"Hebahan berkenaan kompaun RM10,000 itu telah dibuat untuk maklumat orang awam sama ada muda atau tua, jadi tak adil kata polis kejam atau tak toleransi.

"Jangan jadikan polis sebagai musuh kerana kita mengambil tindakan berdasarkan apa yang telah dikuatkuasakan," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan program Taklimat Keselamatan dan Pelaksanaan Inisiatif Satu Masjid Satu Polis peringkat negeri di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Azhan Md Samat.

Ahad lalu tular mengenai seorang pelajar Tingkatan Lima dikompaun RM10,000 kerana tidak menggunakan aplikasi MySejahtera ketika mahu membeli panadol untuk ibunya di sebuah premis perniagaan di Batu Berendam.

Mengulas lanjut beliau berharap isu itu tidak diambil kesempatan oleh mana-mana pihak sehinggakan pelbagai tuduhan dilemparkan.

Menurutnya, bermula Jumaat hingga Selasa lalu seramai 21 individu telah dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Kesalahan tidak memakai pelitup muka dan kegagalan menggunakan kod imbas MySejahtera untuk masuk ke premis adalah kesalahan yang paling tinggi dilakukan.

"Bagaimanapun, mereka yang dikenakan dikompaun boleh membuat rayuan bagi pengurangan bayaran kompaun di pejabat Kesihatan Daerah masing-masing," katanya.