Serpihan papan ada darah DNA 'Nazrin'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ahli Kimia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, kesan darah yang ditemui pada serpihan papan berpadanan dengan profil Asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada spesimen darah 'A' yang berlabel Nazrin Hassan.

S Jayasilan, 42, yang berkhidmat di Jabatan Kimia Malaysia berkata, keputusan itu diperoleh setelah beliau menjalankan analisis menggunakan teknik Polymerase Chaun Reaction (PCR) ke atas ekshibit tersebut.

Kata saksi ke-43 bagi perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund itu, analisis dibuat selepas pihaknya menerima beberapa ekshibit atau barang kes daripada pihak polis, pada September 2018 lalu.

Ketika membaca pernyataan saksi, Jayasilan berkata, antara ekshibit yang diperoleh ialah sampul surat bertanda MN9, mengandungi satu serpihan papan dengan kesan darah.

"Menerusi hasil ujian DNA, kesan menunjukkan kehadiran darah pada papan MN9, berpadanan dengan profil DNA spesimen darah A berlabel Nazrin Bin Hassan.

"Ini menunjukkan bahawa DNA yang telah dikenal pasti berasal daripada sumber sama (Nazrin)," katanya.

Selain darah pada serpihan papan MN9, Jayasilan berkata, terdapat empat lagi ekshibit lain menunjukkan kesan sama, malah ia berpadanan sama dengan profil DNA darah A yang berlabel Nazrin.

Sebelum ini, saksi ke-42, Ahli kimia, bahagian narkotik, Jabatan Kimia Malaysia, V Renuka, 36, memaklumkan, hidrokarbon mudah terbakar tidak dikesan pada seluar dalam Nazrin.

Artikel Berkaitan:

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rohaida Che Hamid, Renuka berkata, ada berkemungkinan bahan mudah terbakar itu meruap atau terdedah pada persekitaran atau hilang dalam udara.

Bukan itu sahaja beliau berkata, kesan tersebut juga mungkin larut dalam air sekiranya terdedah dengan air.

Samirah Muzaffar, 46, bekas eksekutif kanan yang juga isteri Nazrin serta dua anak lelaki masing-masing ketika kejadian berusia 17 dan 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, menyebabkan kematian Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, Ashyraf Ashy'ari, Siti Rohaida Che Hamid dan Mohd Asnawi Abu Hanipah manakala pembelaan diwakili Leonard, Rahmat Hazlan serta Savreena Kaur.

Perbicaraan di hadapan Ab Karim bersambung esok.