Gesa SPRM siasat isu dana DAP

Mohd Hafez (empat, kanan) pada sidang media setelah membuat laporan polis berkenaan.
Mohd Hafez (empat, kanan) pada sidang media setelah membuat laporan polis berkenaan.
A
A
A

IPOH - Polis diminta untuk membuka semula kes serta menjalankan siasatan berkaitan aduan dan dakwaan bahawa DAP ada menerima dana asing (dari negara luar) selama ini.

Timbalan Exco Pemuda Pas yang juga Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Hafez Sabri berkata, laporan polis berhubung dakwaan berkenaan telah pun dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan berkenaan.

Menurut Mohd Hafez, pihaknya berharap agar tindakan segera akan diambil atas laporan berkenaan kerana isu tersebut telah berlarutan bertahun-tahun, namun tiada sebarang tindakan yang dilaksanakan bagi menyiasat dana yang diterima oleh DAP.

“Pas sebelum ini diasak dengan isu dana RM10 juta dan kita (Pas), berikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa iaitu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk siasat semua akaun-akaun Pas.

“Begitu juga kepada DAP dan kita harap pihak berkuasa boleh siasat semua akaun yang ada. Ini berikutan laporan polis serta pendedahan daripada Mohammad Razali Abdul Rahman iaitu bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung rasuah RM300 juta daripada Israel.

“Bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Abdul Rahmat Omar Mohd Haniff yang membuat laporan polis terhadap pengasas MalaysiaKini, Premesh Chandran dan Red Bean Army DaP dengan dakwaan menerima dana yang disalurkan oleh Open Society Foundations (OSF) milik George Soros,” katanya.

Hafez Sabri berkata demikian setelah selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini.

Tambah Mohd Hafez, beberapa dakwaan lain seperti dakwaan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malysia, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengatakan DAP menerima dana segera daripada negara luar untuk membiayai pilihan raya serta Presiden International Republican Institute (IRI) Daniel Twining yang secara terbuka menyatakan pihaknya menyalurkan dana kepada PH pada PRU14 lalu perlu disiasat.

Artikel Berkaitan:

“Kita mendesak agar siasatan dilakukan segera kepada DAP kerana sekiranya benar wujud dana dari luar seperti Israel menunjukkan ia jelas menyalahi undang-udang.

“Jelas ia mempunyai tujuan politik yang boleh mendatangkan ugutan atau ancaman terhadap kedaulatan, keselamatan serta kepentingan negara,” katanya.