X

Kindly register in order to view this article
!

32 pegawai JPJ antara ditahan terlibat rasuah RM1.64 juta

Seramai 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang membawa lebih muatan serta tidak memenuhi aspek teknikal.
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 44 individu terdiri daripada 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara yang ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan serta tidak memenuhi aspek teknikal.

Jumlah selebihnya terdiri daripada seorang anggota polis trafik, bekas anggota polis trafik serta orang awam.

Menurut sumber, pegawai JPJ tersebut melibatkan pelbagai gred termasuk pegawai kanan manakala orang awam pula merupakan proksi.

"Tangkapan tersebut dilakukan menerusi satu operasi besar-besaran yang dikenali sebagai Ops Sukat di lima negeri iaitu Kedah melibatkan lapan pegawai JPJ, seorang anggota trafik, seorang bekas anggota trafik polis dan seorang orang awam.

"Pulau Pinang pula melibatkan tangkapan seramai sembilan pegawai JPJ, Perak melibatkan lapan pegawai JPJ dan empat orang awam, Perlis melibatkan tangkapan seorang awam dan Melaka melibatkan tangkapan seramai tujuh pegawai JPJ dan empat orang awam sejak semalam," katanya pada Selasa.

Katanya, antara modus operandi yang dikesan ialah pegawai-pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang telah melakukan kesalahan jalan raya setelah menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

"Mereka dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan melibatkan kira-kira RM1.64 juta.

"Perbuatan ini dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2020," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhajaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkaitan operasi tersebut.

Menurutnya, operasi tersebut merupakan hasil kerjasama antara SPRM dan JPJ khususnya ketua pengarah dan Bahagian Integriti JPJ dalam usaha meningkatkan integriti jabatan tersebut.

"Ketika ini siasatan masih lagi berjalan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi siri tangkapan.

"Objektif siasatan ialah tertumpu kepada kesalahan rasuah di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 dan melibatkan isu salah laku. Kita cuba untuk lakukan siasatan secepat mungkin," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Terima sogokan: Tiga pegawai JPJ, dua proksi direman


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!