Asrama terbakar, 41 pelajar tahfiz hilang tempat berlindung

Kebakaran memusnahkan sebahagian besar bangunan asrama berkenaan.
Kebakaran memusnahkan sebahagian besar bangunan asrama berkenaan.
A
A
A

TUARAN - Asrama Pusat Tahfiz Tarbiyatun Nisa yang menempatkan 41 pelajar perempuan di Kampung Marabahai di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Memetik laporan Berita Harian, tiada yang cedera dalam kejadian jam 6.50 pagi itu apabila semua pelajar terbabit sempat keluar menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 6.58 pagi, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi bersama dua jentera.

Sejurus tiba, bomba mendapati api sedang marak membakar bangunan asrama satu tingkat itu.

“Pemeriksaan mendapati semua penghuni sudah keluar dan berkumpul di kawasan lapang kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Abdul Qawie berkata, cuaca panas dan keadaan berangin menyebabkan api marak dengan cepat, namun bomba dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

No Image Caption

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 7.38 pagi namun punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengurus asrama, Ustazah Aishah Abdul Halim, berkata kebakaran berlaku selepas sebahagian pelajar selesai mengikuti kuliah Subuh, manakala beberapa pelajar yang sakit berada di asrama.

“Sebaik semua pelajar kembali ke asrama, api mula marak di tingkat bawah dan seorang pelajar menjerit meminta semua penghuni keluar,” katanya.

Menurutnya, antara yang menghuni asrama itu adalah anak yatim dan fakir miskin berusia tujuh hingga 26 tahun dan sesiapa yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh menghubunginya di talian 013-4148823.