X

Kindly register in order to view this article
!

Adakah raya di perantauan 2.0 akan berulang?

Adakah episod ‘raya perantauan’ tahun lalu akan bersambung menjadi episod 2.0 pada tahun ini?
A
A

SHAH ALAM - Selepas pelbagai sektor ekonomi mula dibuka dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ditamatkan di seluruh negara, sebahagian besar rakyat Malaysia berharap agar kerajaan membenarkan semula rentas negeri.

Tambahan pula, melihat kepada kes jangkitan Covid-19 harian, ia telah menunjukkan trend penurunan sejak bulan lalu.

Ramai yang sudah membayangkan untuk bertemu ibu bapa tercinta di kampung atau bercuti-cuti ‘Malaysia’ di lokasi percutian dalam negara.

Dengan kedatangan Ramadan dan Syawal tidak berapa lama lagi, harapan yang tinggi diimpikan rakyat Malaysia untuk menyambut bulan mulia di kampung halaman.

Namun persoalannya adakah peraturan rentas negeri akan dilonggarkan? Lebih tragis, adakah episod ‘raya perantauan’ tahun lalu akan bersambung menjadi episod 2.0 pada tahun ini?

Ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu, menyatakan belum masanya kebenaran untuk rentas negeri diberikan walaupun jumlah kes jangkitan menunjukkan penurunan.

Malah, salah satu sumber terdekat KKM memaklumkan kepada Sinar Harian, kerajaan sudah belajar daripada ‘kesilapan’ lepas apabila membuka pintu rentas sempadan terlalu cepat sehingga menjadi punca terjadinya gelombang ketiga Covid-19.

Dengan kedatangan Ramadan dan Syawal tidak berapa lama lagi, harapan yang tinggi diimpikan rakyat Malaysia untuk menyambut bulan mulia di kampung halaman.
Dengan kedatangan Ramadan dan Syawal tidak berapa lama lagi, harapan yang tinggi diimpikan rakyat Malaysia untuk menyambut bulan mulia di kampung halaman.

Sementara itu, pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani menjelaskan, mustahil kerajaan membenarkan rentas negeri semata-mata mahu menghidupkan kembali tradisi bulan Ramadan dan Syawal.

Walaupun trend kes positif menunjukkan penurunan daripada angka lebih 5,000 kes kepada angka 1,000, Mohd Dzulkhairi menegaskan, pada bila-bila masa sahaja gelombang keempat boleh meletus sekiranya rentas negeri dibenarkan seperti yang diinginkan oleh sebahagian masyarakat.

“Masih terlalu awal sebab kes masih empat angka. Kalau kita buka kembali rentas negeri tanpa ada pengawasan, dikhuatiri kes akan meningkat daripada kluster-kluster rentas negeri.

“Ia sudah terbukti. Kita lihat sebelum ini ada kluster rentas negeri yang terjadi sehingga menyebabkan peningkatan kes di tempat-tempat yang hijau,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Gelombang ketiga pandemik Covid-19 di Malaysia berlaku pada penghujung tahun lalu sehingga memaksa kerajaan melaksanakan kembali beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula 13 Januari lepas.

Dalam tempoh itu KKM melaporkan kes harian tertinggi iaitu 5,725 kes pada 29 Januari.

Selepas lebih sebulan pelaksanaan PKP 2.0, harapan diletakkan pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan apabila negara menerima 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech kumpulan pertama pada 21 Februari lalu.

“Pada pendapat saya tunggu kes turun bawah 500. Yang kedua, selepas berakhirnya imunisasi fasa kedua (Ogos 2021). Bila kita sudah lindungi orang yang lebih tua dan berisiko, pada saya barulah selesa untuk membenarkan rentas negeri sepenuhnya,” tambah Mohd Dzulkhairi.

Katanya, mahu atau tidak, orang ramai perlu bersedia mental dan fizikal untuk sekali lagi menyambut Hari Raya Aidilfitri di perantauan sama seperti tahun lalu.

Rohaizat
Rohaizat

Bagi mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, Datuk Dr Rohaizat Yon, tidak semudah yang disangka untuk kerajaan membenarkan rentas negeri dibuat walaupun pada ketika ini trend jangkitan mula menurun.

Tegasnya, empat faktor perlu diteliti oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana yang menjadi keutamaan adalah melihat kepada analisis taburan kes.

“Sekiranya kes-kes positif empat angka itu adalah kes terkumpul atau di lokasi tertentu, mungkin rentas sempadan itu dibenarkan tetapi kalau kes itu berselerak, mungkin tidak dibenarkan.

“Kalau kluster tempat kerja atau kluster penjara yang mendominasi, tempat-tempat itu yang perlu disekat dan yang lain dilepaskan tetapi kalau analisis menunjukkan ia berselerak, rentas negeri tidak boleh dibuka,” katanya.

Faktor berikutnya adalah melihat kepada capaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kepatuhan rakyat dan penguatkuasaan kerajaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kalau semuanya bertambah positif, kerajaan boleh pertimbangkan untuk rentas negeri,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!