PKPD: Pahang hulur bantuan segera ke Pulau Tioman

KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu (Kluster Air Batang) dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi. (Gambar kecil: Wan Rosdy Wan Ismail )
KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu (Kluster Air Batang) dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi. (Gambar kecil: Wan Rosdy Wan Ismail )
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang menghulurkan bantuan segera kepada penduduk Pulau Tioman ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di pulau peranginan itu berkuatkuasa pada Selasa.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau telah meminta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, Datuk Seri Mohd Johari Hussain menggerakkan misi bantuan bagi memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan mencukupi untuk keperluan penduduk.

Menurutnya, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Rompin, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSB) serta beberapa yang lain akan turut dilibatkan secara aktif bagi menyempurnakan misi bantuan itu.

"Keutamaan dan keprihatinan kerajaan negeri adalah aspek kesihatan dan kebajikan 860 keluarga di pulau tersebut.

"Semoga dengan bantuan segera ini, penduduk tidak terkesan teruk dengan langkah PKPD yang dilaksanakan demi membendung penularan pandemik Covid-19 baik secara dalaman mahupun ke luar," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Wan Rosdy berkata, bantuan segera itu akan menjamin kebajikan penduduk sentiasa terpelihara dalam mengharungi tempoh PKPD selama 14 hari sehingga 29 Mac ini.

"Saya juga berharap penduduk Pulau Tioman bersabar serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Keputusan pelaksanaan PKPD di Pulau Tioman diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengambil kira penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu (Kluster Air Batang) dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

Sehingga 14 Mac lepas, KKM telah melaksanakan 48 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 16 kes positif telah direkodkan.

Kluster itu mula dilaporkan pada 15 Mac lalu di mana kes indeks bagi kluster tersebut merupakan kes No. P3929, warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah pergerakan ke luar Pahang pada 1 hingga 4 Mac 2021.

Kes didapati positif pada 11 Mac lalu hasil saringan bergejala (sampel diambil pada 10 Mac 2021).

Sehingga 15 Mac 2021 jam 12 tengah hari, seramai 27 individu telah disaring dalam kluster ini dan seramai 15 kes dikesan positif Covid-19.