X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Anwar gesa kerajaan tingkat kecekapan, pengurusan pemberian vaksin

Kenyataan media oleh Anwar pada Isnin.
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan supaya meningkatkan kecekapan dan pengurusan pemberian vaksin dalam Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, antara isu penting yang harus didepani kerajaan adalah usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengambilan vaksin termasuk menangani isu proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera.

“Menteri bertanggungjawab iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan bahawa terdapat seramai 1.4 juta warga yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera tidak mendaftarnya dengan lengkap.

“Kita juga membaca laporan atau celoteh warga di ruang maya bahawa terdapat segelintir mereka yang terpaksa mendaftar berkali-kali sebelum proses pendaftaran mereka itu disahkan di dalam sistem.

“Justeru, apa langkah kerajaan setakat sekarang dalam menyelesaikan masalah ini?” soalnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Anwar turut mempersoalkan langkah diambil kerajaan untuk meyakinkan kumpulan masyarakat yang menolak pengambilan vaksin Covid-19 terutama kegusaran ramai terhadap isu keselamatan vaksin.

Perkara lain dibangkitkan beliau, persoalan mengenai proses perolehan dan maklumat berkaitan vaksin bernilai RM3 bilion yang belum dijawab kerajaan.

“Selain itu, terdapat beberapa laporan yang menyatakan tentang keberkesanan vaksin buatan Rusia iaitu Sputnik V yang jauh lebih murah namun baru sekarang kerajaan mengumumkan telah mendapatkannya. Mengapa ia tidak diuruskan lebih awal?

“Terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa kerajaan India menawarkan untuk memberi vaksin secara percuma kepada beberapa negara. Adakah Malaysia ditawarkan vaksin percuma tersebut?

“Kerajaan pernah menyatakan sebelum ini bahawa pengeluar vaksin perlu berkongsi pengetahuan terkait pembuatan vaksin, sekiranya pengeluar-pengeluar vaksin ini mahu bekerjasama dengan Malaysia. Justeru, penting untuk rakyat dan negara tahu berapa cepatkah fasiliti pengeluaran vaksin ini akan dibangunkan,” katanya.

Tambah beliau, ketidakjelasan peranan yang dimainkan oleh universiti dan badan penyelidikan negara juga wajar dipersoalkan kerana institusi berkenaan terbukti mempunyai keupayaan bagi mengkaji, menyelidik dan membangunkan vaksin.

“Kita punyai pengalaman dalam membangun penawar bagi virus Nipah sebelum ini," ujarnya.

Pada masa sama, Anwar menggesa rakyat Malaysia untuk mendaftarkan diri dalam program vaksinasi bagi membantu negara mencapai tahap imunisasi kelompok yang disasarkan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!