X

Kindly register in order to view this article
!

PKR tawar khidmat guaman kepada individu disaman RM10,000

Jimmy Puah Wee Tse
A
A

JOHOR BAHRU- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada individu yang dikompaun RM10,000 di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Timbalan Pengerusinya, Jimmy Puah Wee Tse berkata, khidmat guaman secara percuma itu diberikan bagi memastikan nasib rakyat selepas kerajaan menguatkuasakan kompaun RM10,000 bermula 11 Mac lalu.

Wee Tse yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu berharap kerajaan bersikap adil tanpa memilih kasih atau membezakan darjat antara hukuman kepada rakyat biasa dengan wakil rakyat selepas nilai kompaun berkenaan ditingkatkan.

"Saya berpandangan, lebih molek jika kerajaan melaksanakan kompaun yang dinaikkan secara berperingkat. Contohnya, kesalahan pertama RM1,000, kesalahan kedua RM3,000, kesalahan ketiga RM5,000 dan kesalahan seterusnya RM10,000.

"Kerajaan perlu mengambil kira keadaan rakyat yang terhimpit dengan masalah ekonomi seperti kehilangan kerja, pendapatan dipotong atau perniagaan merosot kesan daripada pandemik Covid-19. Sudah tentu nilai RM10,000 besar buat mereka untuk teruskan kehidupan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Kompaun RM10,000 akibat ingkar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021 terpakai kepada semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bermula pada 11 Mac lalu, di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, individu yang didapati melanggar PKP dikenakan kompaun sehingga RM10,000.

Bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!