Pelajar bantu guru gelandangan

Nava (kanan) membantu gurunya, Villarruel dan meraikan hari lahir pada usia 77 tahun selepas hilang pekerjaan akibat Covid-19. - Foto NBC Los Angeles.
Nava (kanan) membantu gurunya, Villarruel dan meraikan hari lahir pada usia 77 tahun selepas hilang pekerjaan akibat Covid-19. - Foto NBC Los Angeles.
A
A
A

LOS ANGELES - Seorang guru ganti yang juga gelandangan menerima hadiah hari lahir daripada pelajarnya, cek berjumlah AS$27,000 (RM111,200).

Menerusi laporan NBC Los Angeles, Jose Villarruel, 77, tinggal di dalam kereta sejak Mei tahun lalu setelah hilang pekerjaan, rumah, akibat pandemik Covid-19 dan berkhidmat sebagai guru ganti sejak puluhan tahun lalu.

Bekas pelajarnya, Steven Nava, 21, memutuskan untuk mengadakan sambutan hari lahir dan kejutan untuk Villarruel yang dikenali sebagai Mr V.

Nava menjumpai Villarruel pada minggu lalu apabila melihat saban hari lelaki berkenaan tinggal di dalam keretanya di sebuah parkir.

"Saya selalu nampak dia dan itu yang membuatkan saya terfikir untuk mengetahui keadaannya sekarang.

"Selepas beberapa hari, saya mendapati lelaki itu adalah guru ganti semasa saya bersekolah menengah di Fontana Unified School District. Dia tidak mempunyai pekerjaan lagi kerana Covid-19," katanya.

Sedih melihat keadaan gurunya itu, Nava kemudiannya telah memberikan Villarruel AS$300 (RM1,235) dan bertindak membantunya dengan mencari dana melalui GoFundMe.

Nava juga berkongsi kisah itu di semua platform laman sosial termasuk di Twitter hingga tular dan meraih perhatian warga maya.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh 24 jam, Nava terkejut memperolehi AS$5,000 (RM20,577) dan meningkat kepada AS$27,000 (RM111,200).

Nava telah melakukan kejutan hari jadi untuk Villarruel sempena usianya ke 77 tahun dengan dihiasi belon dan menyanyikan lagu ulang tahun secara beramai-ramai bersama bekas pelajar dan komuniti.

"Ini adalah pengalaman hidup saya yang akan dikenang sepanjang hayat saya. Saya akan sematnya di dalam hati," kata Villaruel.

Pejabat Sheriff turut membantu Villaruel dengan menyediakan tempat penginapan di hotel buat sementara waktu.