Pesara rugi RM41,000 selepas serah maklumat akaun bank

Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara sebuah syarikat telekomunikasi kerugian RM41,000 gara-gara tindakannya menyerahkan maklumat perbankan internet kepada sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Mangsa berusia 61 tahun dikatakan mempunyai tunggakan cukai syarikat selain terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan kes dadah sehingga memaksa dia menyerahkan maklumat itu untuk siasatan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dihubungi suspek pertama (pegawai LHDN) pada 7 Mac lalu berhubung tunggakan cukai syarikat yang dikatakan didaftarkan atas namanya.

"Mangsa menafikan perkara itu dan dirujuk kepada suspek kedua, 'pegawai polis' di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek memperdaya mangsa kononnya hasil semakan mendapati pesara itu turut dikehendaki polis kerana terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan kes dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Wazir berkata, suspek mengarahkan mangsa menyerahkan nama pengguna dan kata laluan perbankan internetnya bagi tujuan siasatan.

"Selepas maklumat itu diserahkan, mangsa menerima tujuh nombor kod pengesahan transaksi (TAC) dari akaun banknya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan TAC itu diarah diserahkan kembali kepada suspek.

"Mangsa menyedari telah ditipu apabila wang dalam akaun banknya berjumlah RM41,000 lesap selepas dipindahkan pihak lain melalui tujuh transaksi pindahan ke dua akaun bank atas nama individu tidak dikenali dalam tempoh kurang 30 minit,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Rompin pada Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.