Lebih banyak kudapan dalam pesawat

Malindo Air
A
A

MALINDO Air memulakan Tahun Baharu 2019 dengan meningkatkan perkhidmatannya bagi memenuhi keperluan penumpang menerusi penjualan lebih banyak kudapan dan minuman dalam kumpulan pesawat Boeing.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataannya berkata, antara yang dijual ialah kopi dan teh, jus mangga dan oren serta minuman ringan.

Turut ditawarkan dalam penerbangan ialah mi segera dalam cawan, kek red velvet, kerepek kentang, Oreo, M&M dan Kit Kat.

"Semua produk ini dijual pada harga berpatutan untuk penumpang kelas ekonomi yang mahukan lebih banyak pilihan makanan ringan dan minuman, selain makanan panas dan air minuman percuma dalam penerbangan.

"Penumpang kelas perniagaan pula akan terus menikmati semua tawaran ini dan banyak lagi secara percuma,” katanya.

Sementara itu, bagi penerbangan ATR yang beroperasi antara satu hingga dua jam perjalanan, pek kombo kopi Starbucks bersama bun dan mufin turut dijual dalam pesawat itu.

Bagi barangan dagangan eksklusif Malindo terbaharu iaitu "Get Comfy Kit”, yang mengandungi selimut bulu biri-biri dan fon telinga boleh dibeli secara dalam talian dengan harga RM25 dan RM30 dalam pesawat.

Malindo Air merupakan syarikat penerbangan Malaysia dengan hab utama yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan terbang di pusat bandar Kuala Lumpur, Subang Skypark.

Ia memulakan operasi pada Mac 2013 dengan menawarkan penerbangan domestik dan telah memperluas operasi di semua lapangan terbang utama di Malaysia dan merentasi benua Asia dan Australia.

Kumpulan pesawat syarikat juga berkembang pesat melibatkan 29 kapal terbang Boeing 737 dan 13 ATR72-600 sehingga Januari 2019.