Pengusaha bas lega kembali beroperasi selepas setahun

Pengusaha Bas Persiaran, Mohd Nazir Mubin Ibrahim (kiri) menyediakan dua bas ke Cameron Highlands dan Langkawi selepas syarikat basnya mula beroperasi pada Rabu di Kampung Gong Pauh, Kuala Terengganu.
Pengusaha Bas Persiaran, Mohd Nazir Mubin Ibrahim (kiri) menyediakan dua bas ke Cameron Highlands dan Langkawi selepas syarikat basnya mula beroperasi pada Rabu di Kampung Gong Pauh, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengusaha bas pelancongan meluahkan rasa lega kerana dapat kembali beroperasi selepas terhenti selama setahun akibat penularan Covid-19.

Pemilik Syarikat Pengangkutan Imala, Mohd Nazir Mubin Ibrahim, 34, berkata, kelonggaran diberikan menerusi Gelembung Pelancongan Bersasar bermula Rabu lalu memberi harapan kepadanya untuk kembali menjana pendapatan.

Katanya, tempoh setahun lalu memberikan tamparan hebat sepanjang 13 tahun menguruskan perniagaan bas persiaran yang membawa penumpang ke seluruh semenanjung negara.

"Sejak pandemik Covid-19 melanda negara tahun lalu, perkhidmatan bas tidak dapat beroperasi kerana tiada pelanggan. Walaupun kerajaan umumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), perniagaan tidak dapat diteruskan kerana ketiadaan pelanggan.

"Pendapatan juga merosot 100 peratus sehingga saya dan empat pekerja lain terpaksa menukar cabang kerja lain bagi meneruskan hidupan disamping menggunakan wang simpanan yang ada," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mohd Nazir yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini menyediakan dua bas untuk ke Cameron Highlands dan Langkawi.

"Saya benar-benar lega selepas kerajaan mengumumkan pelancongan bersasar selepas kebenaran rentas daerah kerana selama ini saya banyak bergantung kepada pergerakan untuk melancong ke luar Terengganu.

"Buat masa ini, kita menyediakan trip ke Cameron Highlands dan Langkawi dan saya amat berharap supaya sektor pelancongan akan beransur pulih dan kembali rancak, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Rabu lalu, kerajaan memutuskan membenarkan pelancong bergerak dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) merentas negeri PKPP menerusi Gelembung Pelancongan Bersasar untuk membantu memulihkan ekonomi pelancongan.

Kebenaran pergerakan itu tertakluk kepada penggunaan perkhidmatan agensi pelancongan berdaftar merangkumi khidmat pengangkutan dan penginapan.