223 individu ditahan ingkar SOP: Ismail Sabri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 223 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Jumaat dengan kesalahan tertinggi direkodkan membabitkan kegagalan menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 70 kes melibatkan kegagalan menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan diikuti 55 kes tidak memakai pelitup muka.

"Rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran pula merekodkan sebanyak 47 kes, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal 24 kes, aktiviti pusat hiburan 17 kes dan lain-lain kesalahan 10 kes.

"Daripada seramai 223 individu yang ditahan juga, 216 telah dikenakan kompaun dan tujuh tujuh direman," katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada Sabtu.

Ismail Sabri turut memaklumkan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan sebanyak 68,516 pemeriksaan pada Jumaat.

Menurutnya,sebanyak 3,721 pasukan pematuhan yang melibatkan 16,463 anggota telah membuat pemantauan di 6,726 pasar raya, 6,277 restoran, 4,103 penjaja, 2,329 kilang, 3,322 bank dan 929 pejabat kerajaan.

Katanya, turut dipantau, sebanyak 3,620 terminal pengangkutan darat, 1,836 terminal pengangkutan air serta 1,032 terminal pengangkutan udara.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 51 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan empat tekong berjaya ditahan pada Operasi Benteng pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Dalam operasi yang diadakan di seluruh negara itu, sebanyak lapan buah kenderaan darat juga berjaya dirampas.

"Ops Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 264 sekatan jalan raya (SJR)," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 1,428 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara pada Jumaat.

Katanya, sejak 24 Julai 2020, seramai 142,880 individu telah pulang ke tanah air dan kesemuanya ditempatkan di 80 hotel dan 10 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

"Seramai 7,708 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 134,155 orang dibenarkan pulang manakala 1,017 lagi telah dibawa ke hospital," katanya.