RM700,000 baik pulih rumah nelayan jadi mangsa vandalisme

Norhizam (kiri) melepaskan benih ikan lampam ke sungai Empangan Batu Hampar, di sini, pada Sabtu.
Norhizam (kiri) melepaskan benih ikan lampam ke sungai Empangan Batu Hampar, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri terpaksa menanggung kos baik pulih projek perumahan nelayan di Kuala Linggi yang melibatkan kos kira-kira RM700, 000 susulan vandalisme yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, rumah yang telah siap dibina dan dijual dengan harga RM45,000 seunit itu sehingga kini belum diduduki nelayan menyebabkan ada individu yang mengambil peluang untuk mencuri dan melakukan aktiviti vandalisme.

Menurutnya, kerja-kerja membaik pulih kira-kira 30 unit rumah berkenaan perlu dilakukan segera agar nelayan yang melepasi syarat termasuk ujian air kencing negatif dapat menikmati dan mendiami rumah baharu itu selewat-lewatnya Mei depan.

"Disebabkan rumah siap itu ditinggalkan begitu lama. Jadi untuk proses ini kita nak kenal pasti vandalisme yang berlaku seperti wayar digunting, ada tingkap yang hilang dan kita kena baiki semula.

"Kita bersyukur kerajaan negeri telah memberikan peruntukan baik pulih RM700,000 dan saya beritahu serta ulangi agar tidak berlaku vandalisme kali kedua," katanya.

Norhizam
Norhizam

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum dan Penyerahan Lesen Sampan Khas di Empangan Sungai Batu Hampar, di sini, pada Sabtu.

Jelasnya, kerajaan negeri menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Melaka juga sedang menjalankan sesi temuduga bagi menapis atau menilai kelayakan nelayan untuk mendiami rumah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Ada nelayan yang uzur, atau warga emas dan susah untuk membuat pinjaman rumah, jadi kita akan melihat di mana boleh kita bantu golongan seperti ini.

"Kita juga merancang untuk menambahkan lagi pembinaan rumah nelayan di atas kawasan yang sama namun jumlah unit yang akan dibina masih dalam perbincangan," katanya.

Pada program itu, Norhizam melepaskan sebanyak 30,000 ekor benih ikan lampam ke dalam sungai itu menerusi peruntukan kira-kira RM8,400.